Kerajaan negeri bantu mangsa kebakaran

RIZAL TAHIR | .

PENGKALAN CHEPA: Mangsa kebakaran di Kedai Buloh, Rokiah Ali, 65, masih belum dimaklumkan tentang kematian anaknya Mohd Sharifuddin Hassan yang rentung dalam kejadian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, Rokiah kini masih dirapat di ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Sultanah Zainab ll.

Menurut Mumtaz, pada kejadian awal pagi 4 September lalu Sharifuddin maut dalam kejadian kebakaran itu, manakala badan Rokiah terbakar 30 peratus badan dan tangannya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas menziarahi mangsa di HPRZ ll semalam.

“Kerajaan negeri bersimpati dengan keadaan ini dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mereka,”ujarnya.

Turut mengunjungi mangsa, timbalan exco Wan Ubaidah Omar yang juga Adun Kijang.

Terdahulu Mumtaz menyampaikan bantuan segera bencana dari kerajaan negeri, manakala Ubaidah menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Mekah disamping sumbangan peribadi masing-masing.

Turut menyampaikan sumbangan Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin ketika melakukan lawatan ke tapak kebakaran baru-baru ini.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, Mohd Saifuddin, 36 mati akibat terbakar dalam kejadian itu setelah terperangkap dalam bilik air.

Allahyarham terperangkap ketika cuba untuk memadamkan api yang semakin marak.

Manakala isteri Hassan, Rokiah Ali, 60 berjaya diselamatkan sekumpulan anak muda yang sedang bermain badminton berhampiran kediaman mereka.

Bagaimanapun 30 peratus badannya melecur di bahagian belakang, tangan dan kaki dalam kejadian itu.

Hassan Said, 70, suami Rokiah tidak tercedera dalam kejadian dan beliau juga turut diselamatkan jiran. – HARAKAHDAILY 8/9/2016

Share on Myspace