Kongres Rakyat: Harap DBKL datang dengar rintihan rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak keberatan untuk hadir bersama-sama mendengar rintihan rakyat di dalam Kongres Rakyat yang akan diadakan pada 25 September 2016 nanti.

Penyelarasnya Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya akan memaklumkan jemputan itu kepada DBKL dalam satu surat rasmi yang akan dihantar esok.

"Kita akan berhubung dengan DBKL, untuk mereka menghantar wakilnya di dalam Kongres Rakyat itu nanti. Kita akan sediakan satu slot untuk mereka," katanya dalam sidang media di Jalan Pahang petang ini.

Beliau berkata, pihak DBKL akan diberi peluang membentangkan secara kasar apa yang disediakan oleh mereka bagi menghadapi lapan teras permasalahan utama yang dihadapi oleh warga Wilayah Persekutuan.

Lapan teras tersebut, antaranya masalah pengangkutan awam, perumahan, ruang niaga untuk bumiputera atau peluang perniagaan, kadar jenayah dan isu keselamatan, kebanjiran warga asing, gejala sosial dan gelandangan, pemandu teksi dan perpaduan nasional.

"Kita berharap sangat kehadiran wakil DBKL bagi menyampaikan mesej kepada warga Wilayah secara cepat dan berkesan," katanya yang menjangkakan kehadiran lebih 300 peserta pada hari itu.

Beliau berkata, jawatankuasa Kongres Rakyat Wilayah telah berjaya mengumpul lebih 50 Ngo di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk persatuan penduduk, pemandu teksi, penjaja kecil dan banyak lagi.

Jelasnya, setiap isu akan dikupas oleh tokoh-tokoh yang akan membentangkan isu teras yang disenaraikan manakala penggulungan akan dibuat oleh Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia Datuk Seri Zakaria Jaffar.

Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan akan dirasmikan oleh Presiden Kongres Rakyat Mohd Azmi Abdul Hamid, bertempat di Dewan Galeri Majlis Perbandaran Ampang Jaya Pandan Indah Selangor.

Justeru katanya, Wilayah Persekutuan merupakan pusat dan tanda aras kepada pencapaian visi dan misi kerajaan Malaysia dalam merealisasikan pelan tindakan yang telah dibentangkan oleh pihak kerajaan sebelum ini.

"Kegagalan dalam mencapai visi dan misi akan mencerminkan sejauhmana keberkesanan segala perancangan kerajaan dalam memenuhi tuntutan kebajikan rakyat," ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/9/2016

Share on Myspace