Jemaah haji Malaysia mudah dijangkiti selesema

ASLANI M | .

MAKKAH: Deman selesema dan batuk menjadi kelaziman dihidapi setiap jemaah haji terutamanya dari Asia Tenggara.

Sedangkan sebelum berangkat ke Makkah setiap jemaah haji perlu menjalani suntikan vaksin dan  tambahan.

Biarpun membuat persediaan awal namun setiap jemaah haji masih lagi menghadapi selesema dan batuk.

Malah ada dalam kalangan jemaah haji menghadapi selesema sehingga dua atau tiga kali.

Ada juga sudah tiga kali datang ke Klinik Malaysia yang terdapat di setiap maktab, tempat penginapan jemaah haji.

Klinik di setiap maktab boleh dikatakan sentiasa penuh dengan kehadiran jemaah haji.  Ada juga acap kali datang mendapat rawatan.

Di Hotel Land Premium tempat penginapan jemaah haji di al-Misfalah juga terdapat klinik Malaysia. Terdapat doktor, pembantu perubatan, jururawat dan pegawai farmasi.

Klinik tersebut terletak di tingkat M hotel berkenaan sentiasa penuh dengan kehadiran jemaah haji setiap hari.

Antara punca jemaah haji mudah dihidapi selesema kerana cuaca agak panas, debu dan kesesakan manusia di Masjidilharam.

Selain itu cuaca panas di luar dan sejuk di Masjidilharam serta hotel tempat penginapan memudahkan dihingapi selesema.

Seorang penjawat awam dari Terengganu berkata boleh dikatakan setiap jemaah haji Malaysia mudah terkena selesema.

Katanya beliau turut mendapat rawatan di klinik akibat terkena selesema dan batuk.

"Dengan adanya Klinik Malaysia memudahkan jemaah haji mendapat rawatan secara percuma. Lagi pun harga ubat di farmasi di sini agak mahal," ujarnya.

Ada juga jemaah haji yang terpaksa dimasukkan air kerana batuk berterusan dan kekurangan air dalam tubuh.

Doktor juga menasihatkan jemaah haji minum banyak air setiap hari, sekurang-kurangnya lapan botol mineral. – HARAKAHDAILY 8/9/2016

Share on Myspace