Maafkan segala salah dan silap diri ini - Mufti Wilayah

HARAKAHDAILY | .

Berikut ialah tulisan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi laman facebook beliau, semalam.

TAUBAT DAN ISTIGHFAR: MAAFKAN KAMI

Dalam melayari bahtera kehidupan, sifat sebagai manusia sentiasa terdedah kepada kesilapan dan kesalahan. Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ

Maksudnya: “Setiap anak Adam pasti berbuat salah dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah yang bertaubat.” [Riwayat Ibn Majah (4251)]

Taubat sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama' adalah perasaan kesal dan insaf atas dosa yang dilakukan lantas memohon keampunan Allah dan berazam tidak mengulangi lagi kesalahan dan dosa yang telah dilakukan.

Sebaik-baik manusia ialah yang sentiasa kembali kepada Tuhan dengan bertaubat dan beristighfar. Menitiskan air mata keinsafan dan memohon keampunan-Nya dengan sepenuh hati, segenap jiwa dan raga. Yakinlah firman Allah SWT:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah al-Nisa’: 110]

Kesilapan dan kesalahan hendaklah diikuti dengan istighfar dan pada ayat yang lain hendaklah sentiasa mengingati-Nya serta tidak berterusan melakukan kesalahan tersebut. Benarlah firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). [Surah Ali Imran: 135]

Pada petang yang mulia ini, InshaAllah kami akan berangkat menuju ke Mekah al-Mukarramah sebagai salah seorang Duyuf al-Rahman (tetamu al-Rahman) pada musim haji kali ini. Dengan menginsafi diri yang banyak kekurangan dan juga kesilapan serta dosa, kami mengambil kesempatan di sini memohon kemaafan dari semua pihak yang mengenali diri ini terutamanya yang berinteraksi dan berurusan dengan kami secara langsung atau tidak. Maafkan kami yang penuh dengn kelemahan dan kekurangan ini.

Kami tutup risalah yang ringkas ini dengan sama-sama untuk bertaubat dan beristighfar serta zikrullah lebih-lebih lagi pada hari-hari kemuncak waktu haji ini yang disebut 10 awal Zulhijjah.

Marilah sama-sama kita lafazkan:

أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Aku memohon keampunan kepada Allah yang Maha Agung dan bertaubat kepada-Nya.”

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah engkau Tuhanku tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau, Engkau ciptakan aku dan aku hamba-Mu, dan aku berada dalam janji-Mu menurut kemampuanku, aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang ku lakukan, aku sedari nikmat-Mu kepada-ku, dan ku sedari akan dosa-dosa-ku, ampuni aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau.”

Maafkan segala salah dan silap diri ini.

Akhukum fillah

SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan,
5 Zulhijjah 1437 bersamaan dengan 7 September 2016

Share on Myspace