RUU355: Ruang tambah baik peranan mahkamah syariah

AHMAD AMZAD HASHIM | .

HARI Jumaat adalah hari yang bagus untuk muhasabah dan perbanyakkan istighfar.

Tindak tanduk kita selalu mencerminkan kecenderungan kita. Cerminan apa yang ada di dalam kalbu yakni hati kita.

Saya mahu sentuh sikit tentang RUU 355 yang kini menjadi bahan bualan seluruh negara.

Ia perkara yang bagus kerana sebelum ini tiada siapa tahu dan peduli tentang bidang kuasa dan taraf institusi Mahkamah Syariah yang dihadkan begitu rupa hingga terlalu rendah berbanding mahkamah yang paling rendah dalam Sistem Kehakiman biasa.

Ia dikeranakan kekangan, had kuasa menghukum yang cuma memperuntukkan tidak lebih daripada 3 tahun penjara, RM5 ribu denda dan 6 kali sebatan.

Oleh sebab itu mahkamah yang rendah seperti Mahkamah Sesyen, Mahkamah Rendah atau Mahkamah Majistret yang hakimnya sangat junior misalnya 'pendaftar mahkamah' pun selalunya boleh menjatuhkan hukum misalnya denda dengan jumlah yang jauh lebih besar dari RM5ribu misalnya Doktor yang tidak punya tauliah dan lesen di denda puluhan ribu.

Manakala Ketua Hakim Syariah yang mengendalikan kes syariah yang serius dan besar sekalipun tinggi pengalaman dan pangkatnya pun cuma punya kuasa setakat peruntukan yang ada sahaja.

Adakah had kuasa yang merendah-rendahkan fungsi mahkamah syariah patut dikekalkan atau wajar dipinda agar berkembang seiring dengan pelbagai pindaan yang selalu dibuat dalam memperkasa Mahkamah biasa?

Tentulah wajar sekali.

Mengapa mahu direncat pertumbuhannya, sedangkan sistem kehakiman asing boleh pula dibiar berkembang maju?

Terutama untuk orang Islam, sewajarnya menyambut baik RUU355. Merasa teruja.

Ia baru dibentangkan dan akan melalui proses lanjut iaitu dibentangkan dengan perincian dan seterusnya dibuka ruang kepada perbahasan wakil rakyat di Parlimen. Ia bukan sekali dibaca dan dibahaskan. Ada bacaan kali kedua. Kemudian akan ada pula peringkat perbahasan di Dewan Negara pula oleh para senator.

Mengapa perlu adanya orang Islam yang terloncat-loncat macam kera terpijak kuali panas dengan RUU355.

Ia patut diraikan sebagai satu ruang dan peluang yang dimenangi dalam melangkah setapak lagi kehadapan dalam menaiktaraf Institusi Mahkamah Syariah kita.

Membangkitkan persoalan persoalan hipotetikal untuk menghasut keraguan adalah sangat pra matang.

Oleh sebab RUU355 bukan dipaksakan melalui proses luar biasa yang tidak demokratik. Ia akan melalui proses parlimen.

Sepertinya akta lain dan pelbagai usul pindaan, perbahasan akan menambah baik mana yang kurang, menjernihkan mana yang kabur.

Yang penting kita tahu matlamatnya apa.

Ada yang sampai tergamak membuat andaian kononnya jika RUU355 ini lulus maka hakim syariah akan berkuasa tanpa had untuk sesuka hati hukum orang berjuta ringgit, penjarakan orang berpuluh tahun atau menyebat orang beratus sebatan!

Apa mereka sangka undang-undang syariah ini tiada peraturan ke? Setiap undang-undang, jenis hukuman perlu pula diluluskan diperingkat Dewan Undangan Negeri. Ia dibahaskan oleh para wakil rakyat. Melalui proses demokratik.

Mereka bukan orang orang gila yang hanya melambung buah dadu dan letak hukum apa dan apa. Rakyat yang memilih mereka menilai dan akan menghukum mereka jika berbuat perkara yang tidak munasabah.

Hakim hanya melaksanakan apa undang-undang yang telah diwartakan. Bukan sesuka hati. Yang gubal undang-undang adalah dewan-dewan yang mewakili rakyat. Itu sistem kita.

Memberi reaksi negatif yang melampau-lampau hanya mengesahkan penyakit yang ada dalam hati dan ia menjadi tatapan seluruh rakyat negara ini khususnya yang beragama Islam. – HARAKAHDAILY 9/9/2016

Share on Myspace