Benarkah Kampung Baru KL perlukan M101 Skywheel?

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

KAMI terkejut dengan pengumuman bangunan pencakar langit M101 Skywheel akan dibina di Kampung Baru, menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Apakah ini suatu keperluan yang sebenar untuk membangunkan perkampungan masyarakat Melayu di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Lumpur ini?

Dengan projek mega bernilai RM1.4 bilion itu kami menjangka masyarakat Melayu akan tersisih akhirnya dan Kampung Baru akan lenyap sama sekali.

Kami tidak faham apa maksud beliau bahawa Kampung Baru tidak akan hilang identitinya. Walhal dengan bangunan pencakar langit setinggi 52 tingkat itu bersama roda Ferris yang dikatakan akan menarik pelancong akan pasti menghimpit Kampung Baru dan akhirnya seluruh kampung tersebut akan hilang.

Tujuan untuk melonjakkan harga harta tanah di kawasan berkenaan tidak harus menjadi keutamaan, sedangkan masyarakat Melayu di kawasan itu memerlukan prasarana yang lebih tersusun dan sempurna. Bukan sebuah mahligai moden yang mencakar langit yang bakal menyisih sebarang penyertaan bumiputera seperti yang berlaku dibanyak lokasi di Bandar Raya Kuala Lumpur.

Apakah projek ini termasuk dalam rancangan pembangunan Kampung Baru walaupun ia berada dipinggir kampung tersebut? Dengan pembangunan bangunan seperti itu pasti kesannya akan berlaku ke atas Kampung Baru.

Kami berpendapat model pembangunan Bandar Raya Kuala Lumpur hendaklah segera diubah. Kuala Lumpur tidak perlu bangunan pencakar langit lagi. Sudah cukup sedemikian banyak bangunan pencakar langit yang tidak lestari alam.

Malah bangunan seperti itu akan akhirnya menambah kesesakan Kuala Lumpur yang sedia sesak dengan kenderaan.

Pelancong tidak akan tertarik dengan bangunan seperti itu. Sepatutnya model pembangunan dengan menyusun dan menyempurnakan kemudahan perkampungan tradisi di tengah bandar raya akan lebih menarik pelancong yang dapat melihat keunikan kampung masyarakat Melayu di tengah bandar raya.

Jika kerajaan boleh meluluskan pembangunan projek bernilai RM1.4 bilion walaupun dibiayai oleh pihak pemaju swasta, kenapa kerajaan tidak boleh memberi peruntukan untuk menyusun semula kampung baru dengan sifatnya yang unik itu.

Kita tidak harus hanya berbangga dengan kononnya berupaya meletakkan sebuah roda Ferris di atas bangunan setinggi 52 tingkat itu dan menjadikan ia roda Ferris tertinggi di Asia Tenggara seterusnya menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Sampai bila kita mahu kagum dengan model projek seperti ini hanya kerana mahu mencapai pembangunan bertaraf dunia, padahal ini bukan keutamaan dan bukan keperluan yang dikehendaki rakyat. – HARAKAHDAILY 9/9/2016

Penulis ialah Presiden TERAS Pengupayaan Melayu

Share on Myspace