CAP gesa kementerian pantau alat penimbang tipu

S M MOHAMED IDRIS | .

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga di pasar basah yang menggunakan alat penimbang berat mekanikal yang tidak tepat (timbang dua muka)untuk menipu pengguna.
 
Tinjauan kami ke semua pasar basah di Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan beberapa alat penimbang berat yang memaparkan pelekat penentu ukur tidak dipaparkan kepada pengguna. Sepatutnya pelekat penentu ukur itu perlu dilihat oleh pengguna supaya mereka pasti akan ketepatan alat penimbang berat itu dan jika ia sesuai untuk digunakan bagi perniagaan.
 
Di samping isu pelekat penentu ukur, kami juga mendapati alat penimbang berat yang digunakan oleh kebanyakan peniaga adalah kurang memuaskan memandangkan jarum petunjuk tidak bermula daripada “0” (sifar) dan kadangkala jarum pada permukaan plastik yang telus itu juga kotor menyebabkan bacaan pada jarum itu menjadi sukar.
 
Peniaga perlu menghantar alat penimbang berat mereka untuk penentuan ukur setiap tahun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. Pihak Kementerian perlu mempertimbangkan dengan serius untuk mencetak tahun penentu ukur dalam huruf terang yang besar pada pelekat penentu ukur untuk memudahkan pengguna membacanya.
 
Mereka juga perlu diingatkan bahawa bahagian alat penimbang dengan pelekat penentu ukur perlu dipamerkan dengan jelas, di depan pengguna.
 
Pihak Kementerian juga perlu memastikan bahawa setiap pasar mempunyai dua alat penimbang berat (satu daripadanya untuk digunakan bagi barangan halal) untuk pengguna mengesahkan berat barangan mereka jika mereka meraguinya.

Nombor perhubungan juga perlu disediakan di mana terdapat alat penimbang berat supaya pengguna boleh menghubungi jika mereka mempunyai sebarang aduan berhubung kekurangan berat, kenaikan harga barangan utama atau amalan perniagaan yang tidak sihat. – HARAKAHDAILY 9/9/2016

Share on Myspace