Milik rumah: Negeri tubuh dana, tawar qard al-hasan

HARAKAHDAILY | .

Knight Frank Asia Pasifik melalui kajiannya mendedahkan harga rumah di Malaysia meningkat sebanyak 7.2% pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu sekali gus menempatkan Malaysia pada kedudukan ke-12 tertinggi di dunia mengatasi beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, UK, Hong Kong dan Singapura.

Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporan kajiannya pada tahun lalu menunjukkan bahawa purata harga rumah di Malaysia adalah lebih daripada empat kali pendapatan median.

Indeks Perumahan di Malaysia juga menunjukkan peningkatan daripada 5.40% pada suku ketiga 2015 kepada 5.80% pada suku keempat 2015.

Sekarang ini, bagi pemaju-pemaju perumahan, harga mencecah RM250,000 pun adalah masih dianggap tidak berdaya maju terutamanya di kawasan Lembah Klang dan kawasan-kawasan bandar yang lain.

Sedangkan, menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, rumah berharga sehingga RM165,060 sahaja dianggap berpatutan kepada isi rumah median di negara ini.

Tambah pula, realiti yang dihadapi oleh rakyat di negara ini dengan kenaikan kos sara hidup dan pertumbuhan pendapatan yang terlalu perlahan atau hampir tiada, pasti menyukarkan lagi rakyat di negara ini untuk memiliki rumah. Pilihan yang ada ialah dengan berhutang; walaupun tidak sehingga 100%.

Kerana itu, 56.2% daripada hutang isi rumah negara yang mencecah sehingga 89.1% daripada KDNK pada 2015 adalah pinjaman pembelian rumah dan harta tanah.

Masalahnya, pinjaman menerusi sistem konvensional seperti yang ada pada hari ini adalah terikat dengan kadar faedah atau riba yang menindas peminjam sehingga menjejaskan kemampuan peminjam untuk membuat pembayaran balik pinjaman justeru turut menjejaskan keupayaan dan prestasi institusi kewangan terbabit sendiri.

Sebagai contoh, bagi rumah berharga RM250,000, dengan pinjaman sebanyak 90% dan bertempoh maksimum 35 tahun serta kadar faedah 4.39%, bayaran balik setiap bulan ialah RM1,049.55 dan jumlah bayaran balik selepas tamat tempoh tersebut ialah RM440,811; iaitu perbezaan sebanyak RM190,811 daripada harga asal rumah tersebut. Nilai ini sangat membebankan peminjam.

Keputusan Kerajaan yang membenarkan pemaju perumahan menawarkan pinjaman perumahan pula dilihat tidak menyelesaikan isu sebenar iaitu harga rumah yang terlalu tinggi, bahkan akan memerangkap lebih ramai lagi pembeli dengan masalah hutang dan kadar faedah yang tinggi walaupun syarat kelayakan pinjaman mungkin menjadi lebih mudah.

Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan-kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan membuka perkampungan-perkampungan baru dengan premium tanah yang rendah dan membina rumah asas 3 bilik dengan kos di bawah RM75,000 seunit serta menawarkan pinjaman secara ‘qard al-hasan’ (pinjaman tanpa faedah) – kepada golongan yang memerlukan dan berkelayakan menurut syarat-syarat yang ditetapkan – menerusi dana khas yang ditubuhkan oleh kerajaan-kerajaan negeri.

Walaupun tidak dapat meraih keuntungan dengan pinjaman yang diberikan, kerajaan negeri tetap boleh mengenakan caj perkhidmatan pada kadar kos sebenar. Namun, apa yang lebih penting ialah melalui pinjaman berkonsepkan berkebajikan ini, Allah akan membuka pintu keberkatanNya. Beruntunglah negeri dan rakyat yang mendapat keberkatan daripada Allah.

"Inilah Penyelesaian Kita"

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
9 September 2016 | 7 Zulhijjah 1437 - HARAKAHDAILY 9/9/2016

Share on Myspace