Ekonomi Malaysia: Ambil iktibar teguran PM Singapura

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor menyeru kepada semua pimpinan negara, pakar ekonomi untuk bersama-sama menyingkirkan rasa ego dan takbur bagi memulihkan semula keadaan ekonomi yang semakin tenat melanda negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman percaya dengan mengenepikan perasaan itu sebaliknya duduk bersama menggulung lengan baju antara pemimpin dan rakyat dalam suasana kasih sayang tanpa memikirkan bangsa, nescaya ekonomi negara akan kembali pulih dan kukuh.

Beliau juga menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di dalam video yang telah menjadi viral bukanlah satu sindiran bahkan itu merupakan satu teguran ikhlas ke atas isu ekonomi yang melanda pada hari ini.

"Teguran itu sangat ikhlas bukan sindirian untuk menghina Malaysia. Sebagai sebuah negara berjiran jika sesuatu yang melibatkan kejatuhan ekonomi sudah pasti Singapura akan turut merasai bersama.

"Saya berterima kasih kepada PM Singapura atas pandangan ikhlas beliau berhubung ekonomi negara kita yang sangat membimbangkan," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru beliau mengajak rakyat negara ini bekerjasama dalam membantu usaha pemimpin senior dan pemimpin sedia ada untuk sama-sama memulihkan ekonomi negara demi masa depan bersama. – HARAKAHDAILY 9/9/2016

Share on Myspace