Tuan Guru Hussin Che Dol kembang PAS di Kelantan

HARAKAHDAILY | .

TUAN GURU HAJI HUSSIN CHE DOL KEMBANGKAN PAS DI KELANTAN (9 SEPTEMBER 1953)

PADA hari ini dalam tahun 1952, Naib Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol telah memulakan program penerangan PAS di Kelantan dalam rangka meluaskan pengaruh PAS di negeri Tok Kenali ini, setelah berjaya menubuhkan PAS Cawangan Bukit Besar, iaitu cawangan PAS pertama di Kedah pada 5 September 1952 dannjuga PAS Cawangan Perlis pada 8 Mei 1952. Tuan Guru Haji Hussin Che Dol adalah Naib Yang Dipertua PAS Zon Utara yang bertanggungjawab terhadap negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Semenjak PAS mengambil pendirian pada 3 April 1952 untuk membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan PAS di seluruh Tanah Melayu sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang pertama pada awal 1953,PAS telah berjaya menubuhkan cawangan-cawangannya di Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Perlis, Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan, tetapi PAS melihat Kelantan adalah antara prospek terbaik.

Antara faktor yang menyebabkan PAS yakin dengan kepentingan Kelantan dalam meluaskan pengaruh PAS ialah kerana banyaknya pondok dan ramainya ulamak di Kelantan. Ternyata perkembangan PAS di Seberang Perai, Perak, Kedah dan Perlis pada tahap ini adalah hasil dukungan para ulamak pondok. Untuk tujuan tersebut, PAS telah memutuskan supaya usaha mengembangkan PAS di Kelantan dibuat segera. Kedudukan Tuan Guru Haji Hussin Che Dol sebagai Naib Yang Dipertua PAS yang bertanggungjawab terhadap Kelantan mempunyai kelebihan dalam usaha ini. Pertama, kerana Tuan Guru Haji Hussin Che Dol adalah seorang ulamak yang mempunyai hubungan ilmu dengan ulamak-ulamak Kelantan dan Pattani, kerana ayahnya, Tuan Guru Haji Che Dol Gajah Mati (Sheikh Wan Ismail Wan Mustafa) adalah berasal dari Pattani, negeri yang menjadi tumpuan pelajar Kelantan. Tuan Guru Haji Che Dol juga merupakan mertua kepada Tuan Guru Haji Wan Ibrahim Wan Abdul Kadir (Pak Chu Him Gajah Mati), iaitu adik kepada Sheikh Wan Ismail (Pak Da Eil al-Fathani) dan sepupu kepada Sheikh Wan Ahmad al-Fathani yang sangat terkenal di Mekah.

Di Kelantan, saat ini hampir semua ulamaknya mempunyai hubungan ilmu dengan Tok Kenali, murid kanan Sheikh Wan Ahmad al-Fathani, terutama Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad. Tuan Guru Haji Abdullah Tahir sendiri adalah murid Tok Kenali yang mempunyai pondok terbesar di Kelantan selepas Perang Dunia Kedua. Kedua, adik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad, Qadhi Bachok adalah bekas Ketua Hizbul Muslimin Kelantan ketika Tuan Guru Haji Hussin Che Dol memimpin Hizbul Muslimin pada 1948. Ketiga, Pondok Bunut Payung yang dibangunkan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir menjadi pusat kegiatan Jabhah ad-Diiniah al-Islamiyah Kelantan yang ditubuhkan pada 1934 sebagai persatuan ulamak pertama di Malaya yang bertujuan untuk menyatukan para ulamak Kelantan. Tuan Guru Haji Hussin telah memanfaatkan semua kelebihan ini untuk beliau mengembangkan pengaruh PAS di Kelantan.

Pada 6 September 1952, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol telah bertolak ke Kelantan dengan tujuan untuk mengadakan penerangan tentang dasar dan tujuan PAS di Kelantan. Beliau bermalam di Madrasah Ahmadiyah (Pondok Bunut Payung) beberapa hari dalam melaksanakan misi tersebut, terutama untuk bermuzakarah dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir tentang perjuangan PAS. Pada 9 September 1952, program pertama di adakan di rumah Ustaz Adam Kamil di Pasir Puteh. Kemudian, pada 10 September 1952, Imam Che Muda Yusof dari Masjid Pasir Mas telah menyusun majlis penerangan serupa selepas solat Jumaat di Masjid Pasir Mas, diikuti oleh majlis penerangan di rumah Mohd Nor Senik, Pasir Mas pada malam 11 September 1952. Tuan Guru Haji Hussin Che Dol walau bagaimanapun berkeuzuran untuk memenuhi program pada 11 September 1952 itu. Hasil dari program penerangan ini, Ustaz Abdul Rahman Awang Sulong (Imam Masjid Mukim Beta) telah tampil sebagai ahli PAS pertama di Kelantan.

Selepas sesi penerangan dibuat oleh Tuan Guru Haji Hussin Che Dol ini, PAS telah berkembang di Pasir Mas, Machang dan Pasir Puteh, sebelum ia mula diterima oleh masyarakat Kota Bharu. Antara tokoh awal yang menggerakan pengaruh PAS di Kelantan ialah Ustaz Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim di Pasir Mas, Ustaz Adam Kamil dan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim di Pasir Puteh serta Haji Mohd Nor Yusof di Machang. Penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir ke dalam PAS pada 1954 telah menyebabkan ulamak-ulamak pondok mulai menyertai PAS secara besar-besaran selepas 1955. PAS juga berjaya membuka cawangan-cawangan di Kelantan dengan penubuhan PAS Cawangan Pasir Mas (23 Julai 1953), Machang (21 September 1953), Pasir Puteh (1 Oktober 1954) dan Kota Bharu (18 November 1954). Pada 26-28 Disember 1955, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat di Pondok Bunut Payung, yang memberi isyarat bahawa Tuan Guru Haji Abdullah Tahir telah bersama perjuangan PAS, sekali gus mempercepatkan perluasan pengaruh PAS di Kelantan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
9 September 2016 - HARAKAHDAILY 9/9/2016

Share on Myspace