BNM, Rehda wajar tolak cadangan Noh Omar

HARAKAHDAILY | .

Cadangan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar untuk membenarkan pemaju perumahan untuk memberikan pinjaman kepada pembeli adalah tidak masuk akal.

Cadangan yang akan dilaksanakan di bawah Akta Pemberi Pinjam 1951 dan Akta Pemberi Pajak Gadai 1972 itu, bukan sahaja tidak praktikal malah akan memburukkan lagi tahap hutang isi rumah negara yang sudah di tahap kritikal iaitu 89% daripada KDNK.

Dengan kadar pinjaman yang tinggi dan tidak berasaskan pasaran iaitu 12%-18% hanya akan meningkatkan lagi hutang isi rumah Malaysia. Apa lagi kadar pinjaman kebanyakan bank di pasaran sekarang adalah -2% kadar asas.

Usaha ini juga amat berlawanan dengan usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan beban pengguna dan meningkatkan permintaan iaitu melalui penurun Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas.

Malah langkah ini juga adalah pasti tidak mampu untuk memudahkan lagi pengguna untuk mendapat pinjaman. Ini adalah kerana dalam keadaan pasaran yang amat kompetitif sekarang pun, hampir 50% pengguna gagal layak untuk mendapat pinjaman kerana peraturan BNM yang meletak syarat pendapatan bersih.

PAS yakin inilah langkah permulaan yang akan menjerumuskan Malaysia ke krisis pinjaman sub-prime sepertimana yang telah melanda Amerika dalam tahun 2008 lepas. Langkah yang tidak dikawal oleh BAFIA ini sudah pasti akan melepaskan pengguna daripada saringan bank, walaupun mereka tidak layak untuk mendapat pinjaman.  

PAS mendesak supaya BNM menolak cadangan menteri ini kerana langkah ini hanya akan memburukkan lagi kawalan risiko dan seterusnya meruntuhkan ekonomi Malaysia.

PAS juga mengesyorkan kepada Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) supaya tidak memohon lesen pemberi pinjam dan terbabit dalam langkah terbaru ini kerana tugas memberi kredit bukan tanggungjawab pemaju.

Para pemaju sudah cukup terbeban dengan segala kos pembinaan dan risiko pasaran yang wujud sekarang, lantas tidak wajar untuk menanggung risiko tambahan yang sekarang dipikul oleh bank.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 9/9/2016

Share on Myspace