Ijtimak Antarabangsa perkukuh persaudaraan Islam

HARAKAHDAILY | .

IJTIMAK ANTARABANGSA PERPADUAN UMMAH PERKUKUH PERSAUDARAAN ISLAM (10 SEPTEMBER 1988)

PADA hari ini dalam tahun 1988, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang berlangsung selama dua hari pada 9-10 September 1988 telah berjaya merangsang perpaduan dan persaudaraan Islam di seluruh dunia. Demikian ditegaskan oleh wakil Jamaat Islami Pakistan, Maulana Khalilul Hamidi ketika berucap dalam Ceramah Penutup pada malam terakhir Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Masjid Rusila, Marang, Terengganu. Selain wakil Pakistan tersebut, turut berucap ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang serta wakil MILF dari Filipina, Ustaz Mohamad Ali. Ijtimak dua hari yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Terengganu ini telah dihadiri oleh wakil-wakil dari Arab Saudi, Indonesia, Mesir, Aceh, Singapura, Filipina, Palestin, Kashmir, Afghanistan, Pakistan dan Iran, selain wakil Team B Umno, Berjasa dan Persatuan Ulamak Malaysia (PUM).

Dalam kata-kata aluan Mursyidul Am PAS yang juga Yang Dipertua PAS Pusat, Pak Haji Yusof Rawa, beliau menegaskan bahawa usaha untuk mengembalikan perpaduan ummah mesti dipikul oleh semua aktivis Islam di seluruh dunia, sehingga dapat mewujudkan ukhuwah Islamiyah yang tulus ikhlas. Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Noor menjelaskan bahawa umat Islam pada masa ini sedang berhadapan dengan pelbagai tekanan daripada musuh-musuh Islam. Kerana itu, semangat umat Islam mesti dipulihkan dengan perpaduan supaya mereka dapat menegakkan daulah Islam dan keluar dari cengkaman musuh-musuh Islam.  Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Mustasyar Ijtimak pula menerangkan bahawa perpecahan umat Islam ketika ini adalah hasil usaha penjajah yang menerapkan fahaman perkauman, memasukkan faham keduniaan (sekular) dan memunculkan aliran-aliran ideologi sehingga berjaya menjatuhan kekhalifahan Islam.

Ketika merasmikan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah pada 9 September 1988, Pak Haji Yusof Rawa menggesa umat Islam supaya bersatu-padu untuk membebaskan diri dari belenggu musuh. Ucapan beliau yang dibacakan oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor ini adalah berkait rapat dengan tekanan-tekanan politik tempatan yang sedang berlaku seperti Peristiwa Memali (1985), Operasi Lalang (1987), Operasi Kenari (1988), rampasan tanah Muassasah Darul Ulum, Kedah (1987) dan juga perpecahan Umno (1988). Sedangkan di peringkat antarabangsa, bermula pertengahan dekad 1980-an telah menyaksikan penubuhan Hamas di Palestin oleh Sheikh Ahmad Yassin (1987), penangkapan pemimpin an-Nahdhah Tunisia oleh regim Habib Bourgiba (1988), penubuhan Barisan Penyelamat Islam (FIS) di Algeria oleh Dr Abasi Madani (1988) dan juga kejayaan Mujahiddin Afghanistan mengalahkan tentera Soviet Union yang menjajah sejak 1979.

Bersempena dengan ijtimak antarabangsa ini, tokoh-tokoh gerakan Islam luar negara telah hadir menyampaikan ucapan mereka seperti Saiful Islam Hassan al-Banna dari Mesir, Maamoon Hassan Hudhaibi dari Mesir, Sheikh Rashid Turabi dari Kashmir, Dr Mukhlis dari Indonesia, Dr Amanyar dari Afghanistan, Ustaz Mahmood Mehdi dari Iraq mewakili Mujahiddin Afghanistan, Maulana Khalilul Hamidi dari Pakistan, Ustaz Mohamad Ali mewakili MILF dari Filipina, Drs Abdullah Yusof dari Aceh dan lain-lain. Rata-rata ucapan wakil-wakil antarabangsa ini, selain memberi fokus kepada isu umat Islam di negara masing-masing, mereka telah menyeru supaya umat Islam membina kekuatan melalui perpaduan. Ijtimak antarabangsa ini telah dihadiri oleh lebih 100,000 orang peserta, termasuk wakil keluarga syuhada’ Memali. Tokoh-tokoh tempatan yang hadir ialah Ustaz Ahmad Awang, Yang Dipertua PUM, Ustaz Ibrahim Azmi, ahli Parlimen Kuala Nerus yang memimpin kumpulan serpihan Umno (Team B Umno) dan Ketua Pemuda Parti Berjasa, Drs Abdul Jalil Ahmad.

Majlis penutup Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ini kemudiannya disempurnakan oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor.  Manakala Mustasyar Ijtimak, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang berucap dalam Ceramah Penutup pada 10 September 1988 itu, berkongsi pengalaman umat Islam yang dihina dan menjadi bangsat di tanah air sendiri akibat perbuatan mereka menolak syariat Islam. Selepas dijajah, umat Islam diperintah oleh penguasa sekular yang gagal mengembalikan kekuatan umat dan membela maruah umat Islam. Menurut ahli Parlimen Marang itu, pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini lebih sayangkan telaga-telaga minyak dan kekayaan negara berbanding dengan nasib umat Islam yang dibunuh di seluruh dunia. Hasil kejayaan ijtimak ini, PAS telah menganjurkan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kedua pada 30-31 Ogos 1993 dan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ketiga pada 19-22 Mac 2015.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 September 2016 - HARAKAHDAILY 10/9/2016

Share on Myspace