Ilmuan sokong tolak cadangan menteri

HARAKAHDAILY | .

Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) amat bersetuju dan menyokong saranan dan gesaan banyak pihak termasuk dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan PAS, yang menggesa semua pihak menolak cadangan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar supaya pemaju perumahan diberi lesen untuk memberi pinjaman kepada pengguna.

Ilmuan berpandangan bahawa masalah utama yang membelenggu pengguna sekarang adalah kelayakan untuk mendapatkan pinjaman, yang disebabkan risiko tahap hutang yang semakin parah. Ini terbukti apabila Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sendiri terpaksa memperkenalkan skim "Rent to Own" sebagai alternatif kepada sebahagian besar pengguna yang gagal mendapat pinjaman untuk rumah PR1MA.

Justeru, sebagaimana kenyataan Ilmuan yang lalu, kami masih berpandangan bahawa langkah yang lebih berkesan adalah sebagaimana yang dicetuskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu menurunkan Kadar Asas Semalaman (OPR), yang mampu membantu kebolehdapatan pinjaman kepada pengguna. Ilmuan telah pun menyarankan agar semua bank menyambut langkah positif BNM ini dengan turut menurunkan kadar asas pinjaman masing-masing, yang masih belum dituruti oleh industri secara menyeluruh.

Ilmuan juga setuju dengan gesaan semua pihak bahawa tanggungjawab memberi pinjaman bukan terletak kepada pemaju. Justeru Ilmuan sekali lagi menyeru industri pembankan Malaysia supaya mempertimbangkan kenyataan Ilmuan yang lalu bahawa bank-bank patut melakukan penggabungan untuk gelombang seterusnya.

Penggabungan akan memperkasa industri pembankan yang akhirnya akan membolehkan bank-bank melaksanakan tanggungjawab memberi pinjaman dengan lebih efektif, dan bukannya menyerahkan tanggungjawab itu kepada pemaju.

MAZLI NOOR
Timbalan Presiden Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan)
10 September 2016 - HARAKAHDAILY 10/9/2016

Share on Myspace