Keluarga Nabi Ibrahim lambang keislaman hakiki

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK

Berkaitan dengan Aidiladha yang akan kita sambut beberapa hari lagi, ia berkaitan dengan kisah Nabi Ibrahim AS dan keluarganya. Sejurus anaknya Nabi Ismail dilahirkan, Allah perintahkan baginda membawa anak serta isterinya Hajar ke tempat yang jauh, yang tidak diketahuinya dan meninggalkannya di situ. Disebut di dalam al-Quran, tempat tersebut adalah Mekah yang ketika itu tidak ada tumbuh-tumbuhan dan sebarang kehidupan.

D dalam kitab Taurat pula, Nabi Ibrahim yang disebut namanya sebagai Abram itu ditanya oleh Hajar sebaik sampai di Mekah: "Adakah di sini tempatnya? Adakah ini perintah daripada Allah?" Jawab baginda "Ya." Balas Hajar, "Jika begitu maka wajib kita terima."

Hajar langsung tidak berkata "nak hidup macam mana tempat ini? Nak makan macam mana? Nak cari air di mana". Hajar patuh mengikut suruhan Ilahi.

Setelah lama ditinggalkan sehingga Nabi Ismail meningkat remaja, Allah izinkan Nabi Ibrahim bertemu dengan anak dan isterinya kembali. Tidak lama kemudian, Allah perintahkan melalui mimpinya untuk disembelih anaknya. Kedua beranak itu akur tanpa sebarang bantahan.

Nabi Ismail langsung tidak berkata "Jahatnya ayah aku. Ayah aku ini gila nak sembelih aku." Ini kerana dia beriman bahawa bapanya adalah Rasul yang menerima wahyu.

Peristiwa ini mengajar tentang ubudiyyah yang sebenar. Menyerah diri kepada Allah tanpa sebarang bantahan dan andaian. Walaupun terpaksa meninggalkan keluarga di tempat yang tiada sebarang punca hidup, walaupun terpaksa menyembelih anak sendiri, dia akur akan segalanya.

Malangnya di zaman kita hari ini seringkali mempertikaikan perintah tuhan. Berbagai andaian dan pertikaian diajukan. "Kalau laksana Islam negara akan mundur. Syariat Islam belum lagi sesuai di negara kita. Akan huru hara. Ekonomi merudum. Ramai orang masih belum faham". Inilah kata-kata yang sering kali didengari. Di mana ubudiyyah yang diajar dari peristiwa Ibrahim, sehingga tuhan menyebutkan di dalam firmanNya:

"وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ "اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ

Tidak ada orang yang memilih selain cara beragama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). [Surah al-Baqarah:130]

Share on Myspace