Korbankan kepentingan diri demi memartabatkan Islam

HARAKAHDAILY | .

Perutusan Hari Raya Eidul Adha Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

بسم الله الرحمن الرحيم
الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

Alhamdulillah dan Allah Akbar Walillahilhamd  kita panjatkan segala kesyukuran  kepada  Allah S.W.T yang telah yang telah memberikan keizinan kepada kita untuk terus mengecapi nikmat Islam dan Iman hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah yang telah mendahului kita sebelum ini.  Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah menyempurnakan misi dakwah kepada umat manusia.

Hari Raya Eidul Adha adalah lambang dan syiar pengorbanan umat Islam terhadap agama yang tercinta ini. Ianya menunjukkan bahawa pengorbanan adalah tonggak utama kepada kemenangan perjuangan Islam sama ada kemenangan tersebut dikurniakan di atas dunia ini ataupun secara pastinya diperolehi pada hari akhirat kelak.

Perjuangan memartabatkan ajaran Islam di Malaysia pada hari memerlukan pengorbanan yang paling tertinggi daripada umatnya untuk melayakkan mereka mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t. sama ada dalam bentuk harta benda, buah fikiran, tenaga, masa dan apa sahaja yang menjadi perkara yang bernilai di sisi manusia di atas dunia ini.

Allah s.w.t berfirman:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

"Kamu tidak mencapai maksud sebenar al birr iaitu kebaikan kecuali kamu mengorbankan sesuatu yang kamu cintai".

Kami daripada Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar melakukan pengorbanan demi memartabatkan Islam di negara yang tercinta ini.

Khususnya ketikamana kita berada di ambang perbahasan parlimen berkenaan RUU 355 yang sangat memerlukan pengorbanan yang besar daripada seluruh pihak terutamanya daripada ahli-ahli parlimen terutamanya yang beragama Islam untuk mengorbankan segala agenda kepentingan institusi yang diwakili oleh mereka demi melihat Islam terus diperkasakan sejajar dengan peruntukan perlembagaan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi negara ini.

Sebagai akhirnya kami merakamkan ucapan selamat hari raya korban kepada seluruh rakyat Malaysia semoga pengorbanan kita diterima oleh Allah s.w.t. Mudah-mudahan perjalanan pulang ke kampung halaman selamat serta diberkati Allah s.w.t.

الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر ولله الحمد

Datuk Mahfodz Mohamed
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat - HARAKAHDAILY 11/9/2016

Share on Myspace