Masjidilharam makin lengang sejak Maghrib

ASLANI M | .

MAKKAH: Kota Makkah kini semakin sunyi setelah jemaah haji mulai bergerak ke Padang Arafah mulai petang semalam.

Malah Masjidilharam juga lengang sejak Maghrib semalam. Tiada lagi kesesakan di dataran masjid seperti yang sering berlaku sebelum ini.

Jemaah haji Malaysia kalangan warga emas juga dibawa ke Padang Arafah kemarin bagi mengelakkan kesesakan yang semakin ketara.

Malam semalam kelihatan deretan bas di al-Misfalah sehingga ke dataran berhampiran Masjidilharam.

Paling ramai dalam kalangan jemaah dari Bangladesh, Turki dan negara-negara lain. Jemaah haji berkumpul di kiri dan kanan jalan menunggu bas.

Manakala jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel Land Premium pula akan bertolak ke Arafah petang semalam.

Biarpun lokasi Padang Arafah tidak jauh dari Makkah namun perjalanan mengambil masa berjam-jam kerana kesesakan begitu ketara.

Jemaah haji bermalam di Arafah untuk menunggu Zohor pada 9 Zulhijjah bagi memenuhi rukun haji.

Di tanah air umat Islam pula sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Haji.

Ibadat korban menjadi tuntutan kepada umat Islam pada sambutan Aidiladha.

Sementara itu di Arafah umat Islam bersesak-sesak dalam khemah yang disediakan pihak muasasah.

Jemaah Haji Asia Tenggara ditempatkan di satu lokasi yang terdiri daripada pelbagai negara.

Ramai berkongsi pengalaman pertama tidur dalam khemah yang dihuni jutaan manusia. Mereka juga perlu beratur panjang untuk ke bilik air. - HARAKAHDAILY 11/9/2016

Share on Myspace