Eidul Adha yang penuh keagungan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

10 Zulhijjah adalah tarikh tetap untuk sambutan Hari Raya Eidul Adha oleh umat Islam di seluruh dunia pada setiap tahun. Hari raya ini adalah pasangan atau kembar kepada Hari Raya Eidul Fitri yang juga disambut pada tarikh yang tetap iaitu 1 Syawwal setiap tahun.

Walau bagaimanapun, tidak sebagaimana yang difahami awam, nas-nas daripada sunnah nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam menunjukkan bahawa Hari Raya Eidul Adha adalah lebih besar dan lebih ditekankan oleh baginda. Ia mengandungi pengertian dan isi-isi penting yang wajib dihadamkan oleh setiap umat Islam.

Eidul Fitri sebenarnya dibayangi kekuasaan dan kekuatan yang dimiliki ibadah puasa yang menjadi kefarduan setiap muslim. Jadi perayaan Hari Raya selepasnya adalah untuk menggambarkan kejayaan umat Islam melaksankan ibadah puasa dengan sempurna dan kesyukuran di atas nikmat taqwa kurniaan Allah.

Adapun Eidul Adha, ia adalah sambutan langsung kepada pemahaman dan pelaksanaan isi dan makna hari raya itu. Walaupun ia juga adalah bersempena ibadah haji yang dilaksanakan pada bulan Zulhijjah, tetapi tidak seperti ibadah puasa yang dilaksanakan oleh semua, ibadah haji hanya berlaku di Mekah dan oleh para hujjah tetamu Allah di BaitiLlah sahaja.

Jadi ketika Hari Raya Eidul Adha disambut, ia bukanlah untuk mensyukuri kejayaan setiap umat Islam melaksanakan ibadah haji tersebut. Bahkan ia merujuk kepada isi-isi penting ugama yang dikehendaki Allah agar umat Islam dapat memahami, menekuni dan menghayatinya dengan baik.

Jika Hari Raya Eidul Fitri bertujuan mensyukuri nikmat Allah ke atas kejayaan ibadah puasa, maka Hari Raya Eidul Adha pula bertujuan menuntut umat Islam melaksanakan tugas-tugas besar ke arah memperolehi darjat taqwa kepadaNya dengan mengambil semangat para hujjah yang sedang melaksanakan ibadah haji di Kota Makkah.

Justeru kita melihat betapa RasuluLlah begitu banyak menekankan peri penting ibadah Hari Raya Eidul Adha kepada umat Islam melalui hadis-hadis yang warid kepada kita. Adalah penting sekali kita berusaha menyingkap kepentingannya agar segala kelebihannya dapat dikecapi setiap kita.

Eidul Adha bermaksud Hari Raya Korban. Menamakannya sebagai Hari Raya Korban adalah lebih tepat daripada menamakannya sebagai Hari Raya Haji walaupun ia lebih masyhur di tanah air kita. Tiada salahnya itu. Tetapi maksud korban itulah sebenarnya yang menjadi matlamat dan maksud kepada ibadah hari raya ini.

Berkorban adalah kisah agung datuk kita nabi Ibrahim alaihissalam. Ia juga kisah besar datuk kita nabi Ismail alahissalam. Ia kisah puncak pengorbanan manusia demi cinta dan taat kepada Allah Sang Pencipta segala. Kedua-dua beranak ini telah melakukan suatu pengorbanan yang pelik yang mustahil sama sekali untuk diterima dalam kehidupan. Tetapi demi cinta Allah, maka yang mustahil menjadi kenyataan yang penuh gemilang.

Dalam suasana cinta dan kasih sayang yang begitu hangat terhadap seorang anak soleh yang begitu lama ditunggu-tunggu kehadirannya buat menyambung tugas kenabian di muka bumi selepas ditolak mentah-mentah oleh kaumnya sendiri, Nabi Ibrahim tiba-tiba diuji oleh Allah agar membunuh cintanya sesama manusia.

Buktikan kebenaran cintamu pada tuhanmu dengan membunuh cintamu terhadap makhluk tuhanmu. Buktikan ikhlas dan murni cintamu pada tuhanmu. Buktikanlah wujud tauhid di dadamu wahai Ibrahim dengan membunuh syirik daripada jiwamu.

Begitulah. Membunuh anak, apatah yang satu-satunya dan yang tersayang adalah satu kekejaman yang nyata yang tiada tolok bandingnya lagi. Bagaimana dibayangkan seorang ayah sanggup membunuh anak kesayangan sendiri? Ya, tetapi ia adalah arahan. Arahan daripada kuasa mutlak yang daripadaNya-lah datang segala dan kepadaNya-lah jua kembali segala. Ia adalah satu arahan mutlak tanpa boleh dipersoalkan lagi.

Datuk kita Nabi Ibrahim melaksanakannya dengan cepat dan tanpa berpaling lagi. Begitulah anaknya Nabi Ismail begitu pasrah menerima tanpa berundur lagi. Satu adegan perlakuan manusia yang tidak pernah berlaku kecuali di dalam kisah-kisah kejam daripada seburuk-buruk manusia.

Tetapi kisah pengorbanan datuk kita Nabi Ibrahim ini adalah kisah lain daripada yang lain. Ia kisah yang diciptakan untuk menjadi kayu ukur penting kepada maksud dan isi kalimah tauhid dan ikhlas sepanjang zaman. Apa itu tauhid? Apa itu ikhlas? Apa itu cinta Allah? Ya, jawabannya adalah lihatlah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ke atas anaknya itu. Itulah tauhid, ikhlas dan cinta Allah yang dituntut olehNya. Itulah puncaknya yang menjadi pedoman.

Mengorbankan anak adalah satu suruhan dan arahan. Tetapi ia tidak pernah berlaku pun. Allah bukan ingin melihat darah Ismail mengalir tumpah daripada pisau sembelihan Nabi Ibrahim. Tidak. Allah hanya mahu melihat hati yang tunduk cinta dan begitu ketagih sekali cintanya kepada tuhannya. Itu sahaja.

Allah telah melihatnya di hati dan batang tubuh Nabi Ibrahim. Justeru Dia tiba-tiba memalingkan dan menukarkan Nabi Ismail itu dengan binatang kibasy sebagai galang ganti. Kibasy atau haiwan ternakan itu menjadi simbol kepada pengorbanan dan janji setia Ibrahim dan Ismail kepada tuhannya.

Seruan agar umat Islam meniru pengorbanan Nabi Ibrahim itu adalah nyata. Hendaklah berkorban kerana dan demi Allah untuk agama di dalam diri dan kehidupan umat Islam.

Nabi kita Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam adalah qudwah dan ikutan di dalam pengorbanan demi agama sebagaimana datuknya yang agung itu. Lihatlah sirah al-Rasul dan lihatlah betapa pengorbanannya untuk agama adalah begitu besar sekali.

Semangat dan roh pengorbanan bersejarah itu mestilah mengalir segar dan hangat di dalam jiwa dan tubuh umat Islam. Ia mesti dijelmakan di dalam kehidupan. Bahkan dalam keadaan aman dan sejahtera pun, simbolik pengorbanan mestilah dihidupkan agar tidak dilupai dan dialpakan.

Pada Hari Raya Eidul Adha, selain tuntutan menunaikan solat sunat Hari Raya, umat Islam digalakkan menyembelih dan mengorbankan binatang ternakan. Sebahagian meletakkannya sebagai satu kewajiban. Itu tanda penekanan yang nyata daripada al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.

Pada hari raya umat Islam ramai-ramai melaksanakan ibadah korban. Tetapi sebenarnya, untuk Allah dan ugamaNya yang tercinta, umat Islam mestilah hari-hari berkorban untuknya. Itulah tabiat ugama ini yang tak terpikul kecuali buat mereka yang sedia berkorban sebagaimana itulah sirah orang-orang terdahulu yang telah kembali kepadaNya dengan kemenangan yang nyata.

Begitulah satu bahagian yang jelas daripada hikmat pensyariatan ibadah Hari Raya Korban. Semoga Allah menerima daripada kita. - HARAKAHDAILY 11/9/2016

* Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace