Deklarasi keadilan dalam khutbah haji wada’ Nabi

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK | .

Hari ini 11 Sept 2016 jemaah haji wuquf di Arafah. Tarikh ini kebetulan sama dengan tragedi rempuhan kapalterbang ke atas Menara Berkembar New York. Ia cuba dikaitkan dengan keganasan umat Islam, sedangkan Islam berlepas diri dari segala bentuk keganasan.

Umat Islam akan menyambut Eid al-Adha. Ia mengingatkan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail a.s. dan ibadah haji yang diwarisi dari Baginda dan Nabi Muhammad SAW. Dalam khutbah sempena ibadah haji ketika berada di Arafah, Nabi Muhammad SAW membuat beberapa deklarasi dan penegasan penting yang berkait dengan keadilan, persamaan, tanggungjawab dan hak yang menjadi antara intipati penting dalam ajaran Islam yang suci ini. Khutbah ini sangat penting kerana ia berlaku pada 9 Zulhijjah, hari Arafah dengan disertai himpunan besar para Sahabah radhiAllahu anhum yang julung-julung kali dalam ibadah hebat ini.

Di zaman jahiliyyah, darah dan harta diceroboh sewenang-wenangnya. Mereka yang kuat mengalahkan yang lemah. Mereka yang kaya menindas yang miskin. Undang-undang yang dipakai ialah undang-undang rimba. Kedatangan Islam memartabatkan manusia dengan dipelihara darah dan harta. Ia tidak boleh diceroboh dengan cara salah. Besarnya kehormatan darah dan harta dibandingkan dengan kebesaran hari Arafah, bulan Zulhijjah dan bumi Mekah. Harta dan darah menjadi antara dua perkara yang diberi keutamaan untuk dipelihara dalam kehidupan yang dipanggil maqasid syariah (tujuan syarak) iaitu memelihara agama (Islam), jiwa, akal, keturunan dan harta.

Di zaman jahliliyyah juga, sistem riba menjadi asas kegiatan ekonomi masyarakat Arab, terutamanya dalam bidang perniagaan. Kedatangan Islam membuang bentuk penindasan itu, lalu diganti dengan sistem ekonomi Islam yang jauh lebih adil. al-Quran mengungkapkan “Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.

Selepas hampir 1,500 tahun riba dihapuskan oleh Nabi melalui sistem ekonomi Islam yang adil, manusia kembali mengamalkan riba dalam sistem kapitalis yang dominan sekarang. Istilahnya dipelbagaikan: komisen, dividen, faedah tetapi hakikatnya sistem ekonomi itu kembali kepada jahiliyyah. Kenapa berlaku demikian? Islam yang menjamin keadilan dalam sistem ekonomi itu telah di’kambus’ dari menjadi sistem yang memayungi manusia.

Nabi SAW mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan tipu daya syaitan, walau sekecil manapun cubaan mengganggu hati dan jiwa manusia. Jangan dipandang remeh kepada perkara yang disangka ia remeh sahaja! Syaitan berpuashati walaupun ia dituruti dalam perkara-perkara remeh dalam agama.

Di antara deklarasi yang penting juga dalam khutbah haji wada’ ini ialah tanggungjawab dan hak suami isteri. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri. Tanggungjawab isteri menjadi hak isteri. Isteri mesti taatkan suami. Jangan membiarkan orang lain memasuki rumah tanpa izin suami. Jangan biarkan privasi suami dicerobohi. Apabila isteri taatkan suami, suami wajib memberikan nafkah dan pakaian kepada isteri. Konsepnya ialah timbal balas. Give and take mesti ada dalam sebuah bahtera rumahtangga. Keadilan dalam rumahtangga menjamin keluarga yang baik, kemudian melahirkan masyarakat dan negara yang baik.

Nabi SAW mengingatkan supaya pemimpin yang memartabatkan Kitab Allah ditaati. Justeru, pemimpin PAS di Kelantan dan Terengganu yang memartabatkan al-Quran cuba dijatuhkan?

Keadilan dan persamaan juga diingatkan oleh Nabi terhadap hamba abdi. Dalam konteks semasa, orang gaji, pekerja juga mesti dberikan keadilan. Apa yang tuannya makan, itu juga dimakan oleh hambanya. Jangan menganggap hamba abdi itu orang suruhan yang semata-mata untuk diperah keringatnya. Orang gaji dan pekerja dibayar gaji yang adil dan berpatutan dan bukannya seperti hamba di zaman jahiliyyah.

Nabi SAW menegaskan persamaan dan persaudaraan di kalangan sesama Islam. Justeru, tidak boleh dizalimi, ditindas, dicerobohi harta bendanya. Nilai persamaan itu terus dipertegaskan bahawa tiada beza di antara Arab dan bukan Arab melainkan dengan taqwa. Begitu juga keadilan dalam harta pewarisan yang telah ditentukan Allah bahagian masing-masing.

Pada hari Arafah ini, Allah menurunkan ayat:
“Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan Aku redha Islam itu menjadi agamamu.” (al-Ma’idah: 3)

Keadilan dan persamaan (dalam konteks yang mesti difahami dengan cara sebenar) dalam Islam inilah yang menjadi agenda penting perjuangan Islam yang dibawa oleh para Nabi yang diakhiri dengan Nabi SAW. Perjuangan itu jugalah yang menjadi agenda mereka yang mewarisi perjuangan Nabi SAW ini. Umat Islam diseru menghayati kandungan khutbah haji wada’ Nabi SAW ini dan bersama mendokong perjuangan menegakkan keadilan sejagat dan persamaan ini sambil menyeru bukan Islam memahami perjuagan Islam ini yang meletakkan keadilan itu di tempat yang tinggi.

Khutbah Haji Wada’ (dengan sedikit edit):

“Wahai sekalian manusia! Perhatikan baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak tahu, barangkali aku tidak akan bertemu lagi dengan kamu semua dalam keadaan seperti sekarang ini.”

“Wahai kaum muslimin! Ketahuilah bahawa darah (jiwa) dan harta benda kamu adalah haram (diceroboh) dan mesti dihormati bagi kamu, sebagaimana kehormatan hari ini, bulan ini, hingga tiba saat kamu pergi mengadap Allah, dan kamu pasti akan mengadapNya. Pada ketika itulah kamu dituntut untuk dipertanggungjawabkan atas segala yang telah kamu lakukan! Ya Allah… saksikanlah!”

“Sesiapa yang menanggung beban amanah hendaklah ia tunaikan amanah itu kepada yang berhak menerimanya.”

“Semua bentuk riba dilarang. Kamu hanya berhak menerima kembali modalnya. Dengan demikian kamu tidak berlaku zalim dan tidak pula diperlakukan zalim! Allah telah menetapkan bahawa riba tidak boleh diamalkan lagi, dan riba Al-Abbas bin Abdul Mutalib sudah tidak berlaku!”

“Semua tuntutan darah (pembalasan jiwa) semasa jahiliyah tidak berlaku lagi, dan tuntutan darah yang pertama aku hapuskan ialah tuntutan darah (jiwa) Ibnu Rabi’ah bin Al-Harith bin Abdul Mutalib!”

“Wahai kaum muslimin! Menukar bulan Haram (bulan suci) dengan bulan lain adalah perbuatan menambah kekufuran, dan kerana perbuatan itulah orang kafir bertambah sesat. Mereka menghalalkan perbuatan yang diharamkan dalam bulan suci pada satu tahun dan mengharamkan perbuatan yang dihalalkan (dalam bulan-bulan biasa) pada tahun yang lain dengan maksud melengkapi jumlah bulan-bulan suci yang telah ditetapkan Allah”

“Wahai kaum muslimin! Masa beredar semenjak Allah menciptakan langit dan bumi. Bilangan bulan menurut hitungan Allah adalah dua belas bulan. Empat bulan di antaranya adalah bulan-bulan suci, iaitu tiga bulan berturut-turut (Zulqaedah, Zullhijjah, dan Muharram) dan bulan Rejab antara bulan Jamadilakhir dan Sya’ban.”

“Wahai kaum muslimin! Sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, merekapun mempunyai hak atas kamu. Hak kamu ke atas mereka adalah melarang mereka memasukkan lelaki lain yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu, dan mereka wajib menjaga diri agar jangan sampai berbuat tidak senonoh. Apabila mereka melanggarinya, Allah mengizinkan kamu berpisah tidur dengan mereka, dan kamu boleh memukul mereka sekali dengan pukulan yang tidak menimbulkan cacat badan. Jika mereka telah menghentikan perbuatan seperti itu, kamu wajib memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik. Hendaklah kamu berlaku baik terhadap isteri kamu,disebabkan mereka itu adalah golongan yang membantu kamu dan kerana mereka tidak memiliki sesuatu untuk diri mereka sendiri. Kamu telah mengambil mereka sebagai amanah Allah dan kehormatan mereka dihalalkan bagi kamu dengan nama Allah”

“Wahai kaum muslimin! Dengar baik-baik apa yang aku katakan. Perkara itu telah aku sampaikan! Aku tinggalkan bagi kamu sesuatu yang jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, yaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya! Perkara itu jelas bagi kamu!”

“Wahai kaum muslimin! Dengarkan dan fahamilah kata-kataku. Kamu mesti faham bahawa setiap muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, dan semua kaum muslimin adalah saudara. Tidak seorangpun dari kamu yang dihalalkan mengambil sesuatu milik saudaranya (sesama muslim) kecuali diberikan atas dasar kerelaan hatinya. Jangan sekali-kali kamu berlaku zalim terhadap diri kamu sendiri!”

“Ya Allah, bukankah (semuanya) itu telah kusampaikan?!!” dengan suara gemuruh membelah angkasa, kaum muslimin menyambut: “Ya benar ya Rasulullah!”. Baginda kemudian mohon disaksikan Allah:” Ya Allah, saksikanlah”. - HARAKAHDAILY 11/9/2016

Penulis adalah Timbalan 1, Jabatan Perhubungan Awam, IT Dan Media Baharu, Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulama PAS Terengganu.

Share on Myspace