Ganding bahu jayakan usul persendirian pinda Akta 355

HARAKAHDAILY | .

Kami telah meneliti pandangan yang dikemukan oleh pelbagai pihak berkaitan usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965, Akta 355.

Pada pandangan dan pengamatan kami, ada antara pandangan yang dilontarkan kepada pihak media dan awam lebih kepada bersifat mengelirukan dan memperdaya pihak awam atas pelbagai pertimbangan yang amat tidak wajar.

Demikian juga ada sebahagian yang memberikan pandangan atas kapasiti mereka sebagai mantan kepimpinan utama parti dan ahli jawatankuasa teknikal pelaksanaan syariah.

Pada kesempatan ini, suka kami memberi penjelasan kepada beberapa perkara yang telah ditimbulkan dan pada pengamatan kami ia hanyalah bersifat mengelirukan.

1. Haruslah dibezakan usul persendirian yang dibawa oleh YB Marang dan Rang Undang-undang yang dibawakan oleh pihak kerajaan.

2. Dalam peraturan sedia ada, sesuatu Rang Undang-undang bagi menggubal suatu perundangan atau meminda suatu perundangan, boleh terus dibawa untuk melalui proses bacaan pertama, kedua dan undian, jika ianya dibawa oleh pihak kerajaan.

3. Namun, jika cadangan bagi meminda suatu undang-undang itu dibawa oleh seorang ahli parlimen bukan kerajaan (sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan), ia mestilah dibuat melalui suatu usul.

4. Dengan perkataan lain, apa yang sedang berlaku kepada cadangan meminda Akta 355 adalah hanya suatu usul bagi mengemukakan Rang Undang-undang bagi meminda Akta 355.

5. Apa yang berlaku pada peringkat ini hanyalah suatu prosedur yang belum sepenuhnya membabitkan isi substantive kepada pindaan yang ingin dikemukakan.

6. Polemik berkaitan perkataan-perkataan yang digunapakai dalam usul yang dikemukakan oleh YB Marang seharusnya tidak diperbesarkan dan dijadikan polemik.

7. Jika sekalipun ada kekhilafan atau permasalahan pada perkataan-perkataan yang digunakan dalam usul yang dikemukan, ia masih tertakluk kepada perbahasan dan boleh diperbaiki pada masa hadapan.

8. Apatah lagi, usul yang dikemukan akan tertakluk kepada persetujuan dewan untuk sama ada membenarkan atau tidak membenarkan maksud usul.

9. Maksud usul dalam isu yang sedang kita depani ialah cadangan meminda Akta 355 melalui Rang Undang-undang persedirian.

10. Usul persendirian yang dibawa oleh YB Marang boleh saja diterima dewan dan ianya boleh saja ditolak. Ia akan berlaku sebaik perbahasan mengenainya berlangsung.

11. Jika ia ditolak, ia akan terhenti di situ sahaja. Sebaliknya jika ia diterima dewan, di situlah tuntutan berkaitan rang undang-undang secara lebih jelas diperlukan.

12. Adapun kenapa usul persendirian ini tidak diteruskan oleh YB Marang pada 26 Mei yang lalu, jelas ia menyahut hasrat beberapa ahli parlimen termasuklah dari Seputeh, Kuching dan Seremban yang menginginkan rundingan awam dilakukan secara lebih terbuka mengenai usul tersebut.

13. Pada masa kini, kita dapat melihat di mana-mana saja forum/wacana/dialog dianjurkan bagi menjelaskan maksud usul persendirian yang dikemukakan pada 26 Mei 2016.

Justeru, kami menyeru untuk seluruh kaum muslimin berganding bahu bagi menjayakan usul persendirian bagi mengemukakan suatu rang undang-undang bagi meminda Akta 355. Pelbagai wacana/forum/dialog yang diadakan bolehlah dimanfaatkan untuk mengemukakan sebarang cadangan atau persoalan ke arah penambahbaikan.

Disediakan oleh:
Biro Undang-undang Kelab Profesional Penyokong PAS.

Share on Myspace