Cadangan Noh bukan untuk bantu rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Di saat kerajaan Umno BN menghadapi pelbagai masalah Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar sebagai menteri senior sepatutnya melontarkan cadangan membantu bukannya menambahkan beban kepada kerajaan yang sudah menerajui negara selama 59 tahun.

Pengerusi Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor, Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman berkata, cadangan Noh untuk memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju perumahan adalah tidak munasabah dan memperlihatkan tindakannya bukan untuk membantu rakyat sama sekali.

Sekali gus katanya, cadangan tersebut akan merosakkan fungsi institusi perbankan dan kewangan negara akhirnya menjejaskan ekonomi negara serta rakyat yang berpendapatan rendah.

"Kos sara hidup yang melambung tinggi serta masalah sesetengah rakyat yang kebanyakannya belia tidak mengira bangsa telah disenarai hitam pasti menyukarkan untuk mendapat kelulusan pinjaman," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, Noh yang telah berkhidmat sebagai seorang menteri sekian lama sepatutnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama institusi perbankan dan kewangan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat yang disenarai hitam terlebih dahulu.

"Rakyat pasti gembira dengan usaha kerajaan dan keyakinan rakyat pasti kembali.

"Saya bersependapat dengan beberapa tokoh ilmuan dan pemimpin parti politik yang sebelum ini telah membuat kenyataan sangat kesal dengan kenyataan menteri terbabit yang juga pengerusi umno negeri Selangor," ujarnya.

Justeru tegas beliau, jika benar Noh mahu meneruskan usaha itu, beliau perlu mencadangkan agar lesen pinjaman perumahan dari pemaju yang bekerjasama dengan perbankan. - HARAKAHDAILY 11/9/2016

Share on Myspace