Perutusan Iduladha 1437 Menteri Besar Kelantan

HARAKAHDAILY | .

Firman Allah S.W.T:

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Setelah itu Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “Jadikanlah juga daripada keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima) dan janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”  (Al-Baqarah: 124)

Apabila kita mengingati Eid Al-Adha atau hari raya korban, maka ingatlah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. Baginda telah berkorban sehingga sanggup menyembelih anaknya demi suruhan Allah dan turut berdoa agar bumi ini diwarisi oleh kepimpinan yang sentiasa meninggikan tuntutan Allah.

Pengorbanan yang paling tinggi adalah mendahulukan hak Allah walaupun kita terpaksa mengorbankan jiwa dan raga. Pemimpin dan rakyat daripada kalangan umat Islam yang sentiasa patuh suruhan Allah, pasti akan dianugerah dengan pelbagai kemenangan serta kekuasaan di dunia dan akhirat.

Oleh yang demikian, umat Islam wajib membina kesatuan ummah ini demi melaksanakan hukum Allah dalam negeri dan negara kita. Pelaksanaan syariat Islam dalam perkara ibadat, munakahat, muamalat dan jenayah adalah suatu kefardhuan yang perlu disokong oleh seluruh umat Islam melalui konsep Ta'awun Ala Al-Birr Wa Al-Taqwa. Usaha seumpama ini adalah suatu pengorbanan besar umat Islam di negara kita pada hari ini.

Marilah sama-sama kita turut mendoakan kepada seluruh para jemaah haji agar diberikan kemudahan dan kesihatan semasa menunaikan ibadat dan dikurniakan haji mabrur yang tiada balasan melainkan syurga. Kepada mereka yang masih belum lagi menunaikan fardhu haji, didoakan agar Allah memenuhi niat dan usaha untuk ke tanah suci Mekah pada masa-masa akan datang.

Sempena Eid Al-Adha tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada seluruh muslimin dan muslimat khasnya rakyat Kelantan tercinta. Bagi yang berkemampuan, disarankan agar menghidupkan sambutan hari raya dengan ibadah korban bermula hari raya pertama sehingga berakhirnya Hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah nanti. Betapa besarnya ganjaran ibadah korban sebagaimana dinyatakan dalam hadis Nabi:

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً.

Maksudnya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah daripada mengalirkan darah (yakni menyembelih binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia mengalir dibumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika melaksanakan korban. (Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah)

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
وكل عام وأنتم بخير

SELAMAT MENYAMBUT EID AL-ADHA 1437

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
9 Zulhijjah 1437

Share on Myspace