Hanya korban orang bertaqwa diterima Allah

USTAZ SHAHRIL AZMAN ABDUL HALIM | .

Nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia sangat banyak dan tidak dapat dihitung. Nikmat Iman dan Islam, nikmat sihat, bahagia, aman dan sebagainya.

Firman Allah yang bermaksud: Dan Dia telah memberikan kepada kamu segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnyanya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah. (Surah Ibrahim: 34)

Allah tidak mengenakan sebarang cas ke atas hambanya di atas nikmat nikmat tersebut. Apa yang Dia minta supaya hambanya bersyukur dengan mentaatinya supaya ditambah lagi nikmat.

Firman Allah (maksudnya): Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih. (Ibrahim: 7)

Antara nikmatnya, ada hari-hari yang Allah jadikannya hari Istimewa melakukan ibadah dan digandakan pahala padanya, tujuan menggalakkan hambanya agar beribadah dan mentaqarrubkan diri kepadanya seperti: Hari Isnin Khamis digalakkan puasa sunat. Hari Asyura digalakkan puasa supaya Allah ampunkan dosa setahun. Hari Jumaat sebagai penghulu hari, doa dimustajab selawat diperbanyak dan tazkirah kiamat diperingat. Dalam Rejab ada hari dingatkan tentang Israk Mikraj. Dalam bulan Sya`ban ada hari nisfu sya`ban dan nabi paling banyak puasa sunat dalam bulan Sya`ban. 30 hari dalam bulan Ramadhan, 10 hari akhir, lailatul qadar, 6 hari dalam bulan Syawal.

Sekarang kita berada pada hari terakhir 10 hari awal Zulhijjah. Hari-hari yang semua amal soleh yang dilakukan digandakan pahalanya sebab dilakukan pada hari-hari yang disukai Allah, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Tidak ada hari, amal soleh yang dilakukan padanya lebih disukai Allah daripada 10 hari awal Zulhijjah. Sahabat berkata, wahai Rasulallah! Adakah amalan pada hari itu lebih baik daripada berjihad di jalan Allah? Kata Nabi ya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad di jalan Allah dengan jiwa dan harta bendanya kemudian beliau tidak balik semula. Yakni mati syahid. (Riwayat Abu Daud)

Antara hari yang penting dan besar pahala ganjarannya dalam 10 hari awal Zulhijjah adalah Hari Wuquf. Semalam merupakan Hari Wuquf di padang Arafah bagi jamaah haji. Manakala umat Islam yang tidak menunaikan haji diperintahkan dan digalakkan berpuasa sunat sebagaimana yang disarankan oleh Nabi s.a.w: Aku mengira pahalanya disisi Allah bahawa Allah akan mengampunkan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (Riwayat Ahmad)

Hari ini pula adalah hari kemuncak kepada 10 hari awal Zulhijjah. Amalan yang paling Allah suka kita lakukan pada hari ini ialah melakukan ibadah korban.

Dalam melakukan ibadah korban bukan sahaja binatang korban mesti sempurna sifatnya. Tidak cacat, tidak buta, tidak tempang, tidak sakit, tidak kurus tetapi yang lebih penting ialah orang yang melakukan ibadah tersebut mestilah orang bertaqwa dan ikhlas. Dalam bab ini marilah kita mengambil pengajaran dari kisah korban dua orang anak Nabi Adam as iaitu Habil dan Qabil.

Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam menurut yang Sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Qabil Berkata: "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa". - HARAKAHDAILY 12/9/2016

Penulis ialah AJK Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Share on Myspace