PRU14: Muslimat PAS gesa masyarakat daftar mengundi

HARAKAHDAILY | .

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menggesa semua rakyat Malaysia, khususnya anak muda untuk mendaftar sebagai pengundi sebelum berakhirnya bulan September ini.

Menurut hasil kajian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), statistik rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah seramai 4.2 juta orang yang mana 43% daripadanya merupakan orang Melayu.

Manakala, rakyat dari kaum Cina dan India yang belum mendaftar sebagai pemilih masing-masing mencatat peratusan sebanyak 29% dan 9%. Jumlah ini jelas menunjukkan orang Melayu mencatat peratusan tertinggi yang belum mendaftar.

Pada masa yang sama, jumlah rakyat dari Bumiputera Sabah dan Sarawak yang belum mendaftar sebagai pemilih turut menggusarkan apabila dapatan kajian menunjukkan hampir 300,000 orang yang belum melaksanakan proses daftar pemilih di kedua-dua negeri tersebut.

Susulan dari ini, DMPM menyeru semua rakyat Malaysia cakna akan hal ini, serta membuat keputusan tepat dalam menentukan pemimpin negara yang berjiwa rakyat serta dinamik dalam melaksanakan mandat semasa PRU akan datang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, beliau menyatakan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal diadakan pada awal tahun 2017, hanya senarai daftar pemilih yang dikemaskini sehingga September akan digunakan.

Oleh hal yang demikian, kita hanya berbaki beberapa hari sahaja sebelum proses kemaskini ini ditutup. Besar harapan kami agar rakyat menggunakan masa yang ada untuk segera berbuat demikian sebelum terlambat.

Dalam situasi politik yang 'terumbang-ambing' dan bercelaru ini, rakyat sepatutnya sedar untuk mendaftar sebagai pengundi kerana undi anda bakal menentukan corak politik negara akan datang. Jadilah rakyat Malaysia yang prihatin lagi sayangkan negara! Undi anda mampu mengubah kehidupan yang lebih terjamin!

Puan Noraini Hussin
Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia
13 Zulhijjah 1437 /15 September 2016 - HARAKAHDAILY 15/9/2016

Share on Myspace