Ustaz Hassan Shukri dipilih Timbalan Presiden PAS

HARAKAHDAILY | .

USTAZ HASSAN SHUKRI DIPILIH SEBAGAI TIMBALAN PRESIDEN PAS (15 SEPTEMBER 2003)

PADA hari ini dalam tahun 2003, Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Haji Hassan Shukri telah dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS dengan mengalahkan seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato' Haji Mustafa Ali. Seorang lagi calon, Tuan Guru Dato' Dr Haji Haron Din yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS telah menarik diri pada saat akhir pemilihan tersebut. Pemilihan Ustaz Hassan Shukri diumumkan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-53 pada 11-15 September 2003.

Jawatan Timbalan Presiden PAS kosong ekoran kematian Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor pada 23 Jun 2002, yang menyebabkan Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang terpaksa memangku jawatan utama PAS itu. Ini adalah kali pertama jawatan Timbalan Presiden PAS dipertandingkan sejak 1981. Dalam pemilihan tahun 1981, Pak Yusof Rawa mengalahkan Dato' Abu Bakar Umar, kemudian jawatan tersebut dipegang oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor (1982-1989) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1989-2002) tanpa bertanding.

Ustaz Hassan Shukri adalah ahli PAS sejak 1952 yang memegang nombor keahlian PAS 12,016. Beliau dilahirkan di Sabak Bernam pada 1937 dan mendapat pendidikan di Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas sebelum lulus ijazah Syariah dan Bahasa Arab dari Universiti Baghdad pada 1968. Beliau mula aktif dalam KPAS dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perak pada 1963-1964. Selepas pulang dari Baghdad, beliau menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1968-1971) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1971-1973), sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS (1973-1979 dan 1982-1989), Ketua Penerangan PAS Pusat (1979-1981) dan Naib Presiden PAS (1989-2003). Di peringkat antarabangsa, beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pengasas WAMY pada 1972-1973, selain turut mengetuai Sekretariat Gerakan Islam di Amman dalam isu Perang Teluk pada 1989.

Pemilihan Ustaz Hassan Shukri ini telah mengakhiri spekulasi yang mengatakan kepemimpinan ulamak telah ditolak dalam PAS. Sebaliknya, ia adalah pengiktirafan terhadap peranan Ustaz Hassan Shukri sebagai pentadbir parti yang berpengalaman dan berpengaruh sehingga dianggap sebagai "Perlembagaan bergerak" dan "Arkib PAS." Ustaz Hassan Shukri juga berjaya meneruskan tradisi timbalan presiden sebagai pembantu utama presiden seperti yang telah dilaksanakan oleh Ustaz Haji Ghazali Abdullah (1951-1953), Ustaz Haji Mansor Hassan JP (1953), Dr Haji Abbas Alias (1953), Cikgu Ahmad Awang (1954-1956), Prof Zulkifli Mohamad (1956-1964), Dato' Mohd Asri Haji Muda (1964-1971), Ustaz Dato' Hassan Adli Mohd Arshad (1971-1977), Ustaz Dato' Abu Bakar Umar (1977-1981), Pak Yusof Rawa (1981-1982), Ustaz Fadzil Mohd Noor (1982-1989) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1989-2002). Ustaz Hassan Shukri memegang jawatan Timbalan Presiden PAS selama dua tahun sehingga 2005, sebelum ia diambil alih oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
15 September 2016 - HARAKAHDAILY 15/9/2016

Share on Myspace