Hanya 7 km, tambang teksi cecah SR1,000

ASLANI M | .

MAKKAH: Selepas jemaah haji berada lima hari, empat malam di Arafah, Muzdalifah dan Mina kini mereka kembali semula ke Makkah.

Mina yang terletaknya tiga jamrah, sebagai tempat melontar hanya digunakan beberapa hari dalam setahun.

Kira-kira empat juta umat Islam dari seluruh dunia berkampung di Mina dalam keadaan bersesak sesak.

Setiap jemaah haji hanya diberi ruang yang memuatkan sejadah untuk tidur, solat dan makan.

Paling terakam indah dalam kenangan apabila terpaksa menunggu di setiap pintu tandas. Biarpun sekadar membuang air kecil terpaksa beratur lama.

Deretan khemah boleh dilihat seperti lautan di sekeliling tempat perkhemahan jemaah haji di Mina.

Mina yang terletak kira-kira 7 km dari Makkah semalam menjadi tuah kepada pemilik teksi apabila mengenakan tambang sehingga SR1,000 kepada jemaah haji yang nafal awal.

Seorang jemaah haji dari Shah Alam memberitahu banyak teksi mengenakan tambang sehingga SR1,000 bagi jemaah haji yang mahu kembali ke Makkah dari Mina.

"Banyak teksi mengenakan kadar tambang itu dengan alasan mereka sudah 2 hari menunggu di situ," katanya di sini.

Mina yang menjadi wajib kepada setiap jemaah haji untuk mabit tiga malam kini kembali sunyi. Hanya tinggal pekerja membersih kawasan itu.

Jemaah haji yang tiba di hotel penginapan di Makkah perlu menyelesaikan dua lagi rukun haji iaitu tawaf dan saie.

Apabila selesai saie bermakna tamatlah 13 larangan ihram bagi setiap jemaah haji. -  HARAKAHDAILY 15/9/2016

Share on Myspace