Selamat Hari Malaysia dari Dewan Muslimat PAS

HARAKAHDAILY | .

Tarikh 16 September merupakan tarikh bersejarah negara kita apabila ia diisytiharkan sebagai Hari Malaysia. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia yang tercinta.

Hari Malaysia yang disambut bermula tahun 1963 ini adalah untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia. Sejarah merakamkan perasmian dan pengisytiharan detik bersejarah ini diumumumkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Maka hari ini (16 September 2016) genaplah 53 tahun sambutan ini diraikan.

Memperingati Detik Tertubuhnya Hari Malaysia

1. Perisytiharan penubuhan Persekutuan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka di hadapan 30 ribu rakyat jelata. Permulaan Penubuhan ini mendapat tentangan dari negara Indonesia dan Filipina.

2. Susulan daripada itu, Indonesia melancarkan konfrantasi ketenteraan dengan slogan "Ganyang Malaysia" manakala Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British.

3. Namun akhirnya Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia dipersetujui di London pada 9 Julai 1963, dan tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia jatuh pada16 September 1963.

Malangnya, saban hari peristiwa bersejarah ini kian dilupakan terutama oleh generasi muda. Nilai patriotisme yang semakin pudar dek ditelan arus modenisasi menyebabkan susur galur sejarah negara sendiri hanya tersimpan di buku teks sekolah semata-mata tanpa penghayatan yang sebenar.

Justeru, kami Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru untuk sama-sama kita hayati detik ini dan mengimbau kembali kisah wira-wira negara yang begitu banyak berjasa kepada tanah air kita, Malaysia. Cuti umum yang diadakan sebagai tanda memperingati Hari Malaysia harus diberikan pujian yang sewajarnya.

Jati diri anak bangsa tidak sepatutnya pudar ditelan zaman, bahkan ia harus mekar diingati sepanjang zaman. Ingatlah kata pujangga, mereka yang lupakan sejarah pasti akan mengulangi kesilapan lalu. Semoga sambutan ini mampu menyuntik semangat cintakan tanah air dan terus berusaha mempertahankan keamanan dan keharmonian negara Malaysia yang tercinta.

"SELAMAT HARI MALAYSIA"

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
14 Zulhijjah 1437 / 16 September 2016 - HARAKAHDAILY 16/9/2016

Share on Myspace