PAS terima surat pembatalan sekatan politik dari KDN

HARAKAHDAILY | .

PAS TERIMA SURAT PEMBATALAN SEKATAN POLITIK DARI KEMENTERIAN DALAM NEGERI (16 SEPTEMBER 1970)

PADA hari ini dalam tahun 1970, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Baharuddin Abdul Latif telah menerima surat makluman daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Dr Ismail Abdul Rahman yang memaklumkan secara rasmi kepada PAS tentang pembatalan larangan berpolitik ekoran tragedi perkauman berdarah pada 13 Mei 1969. Dengan penarikan balik larangan berpolitik ini, seluruh kegiatan politik PAS sebagai sebuah parti politik yang sah dapat dijalankan semula setelah terhenti lebih dari setahun. Aktiviti politik rasmi PAS boleh dikatakan terhenti sebaik sahaja Pilihan Raya Umum Ketiga diadakan pada 10 Mei 1969.

Tragedi 13 Mei 1969 tercetus kerana api perkauman sempit yang ditiupkan oleh parti-parti politik tertentu, terutama setelah Perikatan gagal mempertahan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum 1969. PAS berjaya memenangi 12 kerusi Parlimen, sedangkan parti-parti bukan Melayu iaitu DAP memenangi 13 kerusi, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) lapan dan PPP empat, manakala Perikatan hanya menguasai 66 kerusi sahaja daripada 103 kerusi di Semenanjung. Perikatan juga kehilangan kerajaan Pulau Pinang ke tangan PGRM, selain gagal membentuk kerajaan di Perak dan Selangor. Parti-parti pembangkang bukan Melayu meraikan kemenangan mereka melalui perarakan-perarakan di bandar-bandar utama sambil menghina orang Melayu sehingga ia bertukar menjadi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Tragedi yang mengorbankan 169 nyawa ini telah menyebabkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 15 Mei 1969, menggubal satu ordinan untuk menggantung pilihan raya Parlimen dan DUN yang belum selesai dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 17 Mei 1969. Mageran yang diketuai oleh Tun Abdul Razak Hussein telah menggantung seluruh kegiatan yang berhubung dengan politik dan pilihan raya. PAS sendiri pada 20 Julai 1969 telah mengambil sikap menyokong langkah-langkah Mageran untuk mengembalikan keamanan dan keharmonian negara, termasuk menerima perlantikan dalam Majlis Perundingan pada 5 November 1969 dan dalam Jawatankuasa Muhibbah Negara pada 25 November 1969.

Dengan kerjasama yang diberikan oleh PAS, pada 30 Ogos 1970, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan penarikan balik larangan berpolitik dan mengisytiharkan prinsip-prinsip Rukun Negara serta mengumumkan pindaan Akta Hasutan 1948 bagi menghalang kegiatan subversif yang mempersoalkan isu-isu sensitif seperti kerakyatan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Tunku Abdul Rahman Putra juga mengumumkan bahawa beliau akan bersara dari jawatan Perdana Menteri mulai 21 September 1970. Ekoran dari pengumuman oleh Perdana Menteri untuk menarik balik larangan berpolitik mulai 1 September 1970, pada 16 September 1970, PAS telah menerima pemakluman rasmi dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negari, sebelum ia dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS kepada seluruh organisasi parti pada 27 September 1970. Sejak itu, kegiatan politik PAS kembali bergerak secara terbuka dalam kerangka undang-undang.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
16 September 2016 - HARAKAHDAILY 16/9/2016

Share on Myspace