Kisah kecil kami dan Tuan Guru Dr Haron Din

IMAM MUDA FAKHRUL | .

MULA membuka mata di kala subuh hari di bumi Sudan. Hujan lebat membasahi bumi kering ini. Sebasah jiwa yang membungkam menangisi pemergian Murabbi Ummah Tuan Guru Datuk Dr Haron Din.

Insan yang terlalu banyak jasanya untuk Islam khususnya Pusat Dakwah Serantau yang kami sedang bina sudah masuk lima tahun. Almarhum adalah pengerusi majlis perunding Pusat Dakwah Serantau. Hasil usahanya memimpin kami dan Pusat Dakwah telah berjaya mengislamkan lebih 1000 orang di Malaysia, Indonesia, Kemboja dan lain-lain negara rantau ini. Hanya dalam masa 5 tahun.

Masih terpahat dalam ingatan ketika dalam mesyuarat majlis perunding membincangkan proses pembinaan kompleks Pusat Dakwah Serantau yang memakan belanja 25 juta. Salah seorang ahli mesyuarat bertanya dengan penuh keraguan, "macam mana kita nak cari 25 juta?" Spontan Almarhum menjawab "Minallah!", "Dari Allah!" Semua tersentak termotivasi dengan jawapan yang sangat meyakinkan. Allahu Akbar!

Alhamdulillah, dalam masa dua tahun Pusat Dakwah sudah mula dibina. Tanah sudah dibeli dan pembinaan sudah masuk fasa pertama. Pelajar pun sudah masuk pengambilan yang ke-6 dan anak didiknya sudah bertebaran di seluruh rantau asia menjadi selebriti langit mengajak insan kembali kepada Islam.

Kini kami mengorak langkah untuk menerbitkan Hidaya TV hasil sokongan kuat idea dan bantuan dari beliau. TV internet yang hanya fokus dakwah kepada yang belum Islam dengan pelbagai pendekatan.

Kini usaha sedang giat dilakukan dengan pelbagai penggambaran dan perbincangan. Masih teringat cukup semangat beliau membincangkan kandungan dan majlis pelancaran yang dicadangkannya besar-besaran. Malangnya beliau tidak sempat melihat hasilnya. Insya-Allah kami akan teruskan usaha ini. Semoga segala kebaikan dan pahala berterusan sampai kepadanya.

Terkadang rasa hairan di dalam jiwa. Bagaimana dia boleh menguruskan nyawanya sebegini hebat dalam keadaan dia sebagai seorang Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia PAS. Ketua Kluster Dakwah Kerajaan, Pengerusi Darul Syifa, Pengerusi Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau dan puluhan lagi tugas besar yang terpikul di bahunya.

Tiada jawapan lain kecuali kelebihan ini adalah karamah yang Allah berikan hanya kepada mereka yang terpilih.

Kini beliau telah meninggalkan kami walaupun kami masih lagi sangat memerlukannya. Allah lebih menyanyanginya. Walau di hujung dunia jasadmu dikebumikan tidak menjadi masalah kerana jiwamu sentiasa tertanam dihati dan doa kami.

Rehatlah wahai Murabbi Ummah daripada kekalutan dan makar dunia. Sudah bertahun dikau menanam. Kini tiba masanya menuai hasilnya. Bergembiralah menemui Pencipta dan Rasul-Nya. Senyumlah menemui para Murabbi yang sudah lama mendahului.

Semoga kami sentiasa istiqamah bersama jalan yang telah kau lalui. Tak dapat dibayangkan betapa seronoknya menemuimu kembali nanti dibelakang Rasul yang dirindui.

Damailah Murabbi Ummah..

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه.....

Dari Al-Faqir IM Fakhrul, Khartoum Sudan. – HARAKAHDAILY 16/9/2016

Share on Myspace