Bantuan mahasiswa di Mesir perlu kerjasama semua pihak

HARAKAHDAILY | .

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) mengambil maklum isu yang dibangkitkan akhbar Berita Harian pada Khamis, 15 September 2016 bertajuk "Pelajar kita di Mesir hutang yuran RM4.5 juta".

Sejak penubuhannya, ILMAM sentiasa memantau isu-isu yang berlaku kepada para mahasiswa yang berada di bumi Mesir. Pemantauan ini meliputi semua pelajar Pengajian Islam dan Perubatan yang berada di sana.

Seperti sedia maklum, Kerajaan Malaysia menguruskan urusan kemasukan para pelajar ke Mesir melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Para pelajar ini sebahagian besarnya menyambung pengajian di Mesir dengan kelayakan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

ILMAM mengambil maklum bahawa isu yang dibangkitkan akhbar BH tersebut melibatkan mahasiswa yang menyambung pengajian melalui ejen-ejen swasta. Sebagai sebuah NGO, ILMAM menyeru kepada ejen-ejen swasta yang terbabit untuk mengambil maklum dan bertanggungjawab terhadap mahasiswa kendalian mereka.

Menerusi isu ini, ILMAM bersedia untuk bekerjasama dengan persatuan-persatuan pelajar di Mesir untuk membuat penilaian dan menyampaikan bantuan kepada mana-mana mahasiswa perubatan atau pengajian Islam yang benar-benar memerlukan bantuan.

ILMAM juga menyeru semua pihak membantu dan bekerjasama untuk terus prihatin terhadap isu mahasiswa Mesir ini, bukan sahaja pelajar Perubatan tetapi juga mahasiswa Pengajian Islam yang kurang berkemampuan untuk menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat di Mesir akhir-akhir ini.

Sumbangan dan bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) Maybank (5621-0663-6662) atau boleh menghubungi Exco Kebajikan ILMAM, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh di talian 018-2657877.

Semoga Allah mempermudahkan urusan mahasiswa kita di Mesir khususnya yang tidak menerima sebarang bantuan kewangan mahupun pinjaman daripada kerajaan, GLC mahupun pusat zakat di Malaysia.

Syed Abdul Kadir Aljoofre
Presiden Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)
16 September 2016 - HARAKAHDAILY 16/9/2016 

Share on Myspace