Datuk Dr Haron Din tinggalkan legasi

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK | .

Benarlah Allah yang berfirman, bermaksud: “Satu diri itu tidak tahu di bumi mana dia akan mati.” Datuk Dr Haron Din meninggal di Hospital Stanford University, San Francisco, satu nama dan satu tempat yang cukup jauh bagi ahli keluarga almarhum, penuntut dan pengamal perubatan Islam DarulSyifa, pemimpin dan penyokong PAS mahu menziarahi kuburnya (kalau ditakdirkan dikembumikan di sana. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kepastian). Namun itulah takdir dari Yang Maha Kuasa Dan Maha Mengetahui.

Ia bukan suatu yang asing. Nabi Adam dari syurga, wafatnya di bumi. Nabi Ibrahim dari Iraq, wafatnya jauh dari bumi Iraq. Nabi Muhammad SAW lahir di Mekah, wafatnya di Madinah. Para sahabat dan ulama lahir dan membesar di pelbagai tempat, tetapi maqam mereka juga bertebaran di seluruh pelosok dunia.

Yang penting bukan di bumi mana kita mati, kerana bumi ini milik Allah, tetapi bagaimana cara kita mati. Kalau mati itu di tepi Kaabah sekalipun, tetapi mensyirikkan Allah seperti kalangan musyrikin Mekah di awal Islam, apa ertinya?

Almarhum Datuk Dr Haron Din punya ramai anak murid, sama ada murid dalam perubatan Islam Darul Syifanya atau anak muridnya ketika beliau menjadi pensyarah di universiti dahulu. Tidak ketinggalan anak murid dalam ilmu politik terutama ketika dilantik menjadi Mursyid al-Am PAS menggantikan almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz. Ilmu syariah, aqidah, akhlak, perubatan dan pandangan politik yang dicurahkan, itulah yang menjadi peninggalan penting dan legasi yang kekal.

Saya sendiri mengenali beliau semenjak tahun 1980-an ketika bersekolah menengah. Mengikuti secara langsung kuliah Maghribnya di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi ketika belajar sekejap di UKM tahun 1987-1988, sebelum meninggalkan UKM. Terus mengikuti ceramahnya melalui pelbagai medium, termasuk pelbagai pandangan politiknya selepas dilantik menjadi Mursyid al-Am PAS. Beberapa ucapannya secara spontan ketika menggulung perbahasan dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat, ucapan penangguhan atau perasmian Dewan Ulamak PAS Pusat, saya catatkan dan saya viralkan serta disiarkan di pelbagai medium.

Tiada lagi ucapan beliau selepas ini yang dapat saya catatkan dari mulut beliau, namun pendirian tegas dan Istiqamah beliau akan terus diingati. Semoga allah merahmati roh beliau, menempatkannya bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin. - HARAKAHDAILY 16/9/2016

Penulis adalah Timbalan 1 Jabatan Perhubungan Awam, IT Dan Media Baharu Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu.

Share on Myspace