Satu lawan satu: PAS akan buat kajian terperinci

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

MARANG: PAS menyambut baik cadangan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi PAS tidak gopoh dan akan membuat kajian terperinci.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS kini perlu berhati-hati dalam mengadakan kerjasama politik dengan semua pihak.

Justeru, katanya terlalu awal bagi parti itu membuat keputusan mengadakan kerjasama politik baharu dengan mana-mana parti pembangkang lain.

Menurutnya, konsep umum yang sedang diperkenalkan oleh PAS adalah politik matang dan sejahtera berdasarkan ‘taawun’ iaitu tolong-menolong dalam perkara baik.

“Terlalu awal kita mahu membuat keputusan. Parti-parti politik pun dalam keadaan tidak menentu.

“PAS perlu berhati-hati untuk bekerjasama dengan semua pihak, cuma langkah kita sekarang ialah memperkenalkan politik matang dan sejahtera berdasarkan kepada taawun iaitu tolong-menolong dalam perkara baik dan tidak tolong-menolong dalam perkara yang tidak baik.

“Kerjasama dalam perkara baik sama ada dengan kerajaan atau pun pembangkang. Ini konsep umum yang kita pegang pada hari ini.

“Terlalu awal untuk kita sebut parti-parti tertentu, terlalu awal untuk kita sebut beberapa penjuru kerana kita tidak tahu parti mana yang masuk bertanding dan yang tidak masuk bertanding.

“PAS tetap mempunyai kemampuan dan sejak tahun 1955, PAS sudah masuk pilihan raya. PAS pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik. Kita kaji semua sebab itu tidak gopoh dalam membuat keputusan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wakil media mengenai pendirian PAS dengan strategi satu lawan satu pada PRU14, selepas menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila, pagi tadi.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan bahawa PAS akan melihat kekuatannya berdasarkan laporan dari negeri-negeri.

Katanya, apa guna bagi parti-parti pembangkang lain turut bertanding di kawasan sama yang PAS mempunyai kekuatan jentera partinya.

Ketika ditanya, adakah PAS belum lagi membuat pendirian tetap dengan cadangan satu lawan satu pada PRU14, beliau mengakui kerana akan membuat kajian secara terperinci.

Namun, kata beliau berdasarkan perkembangan parti itu pada masa kini sangat baik dengan penerimaan rakyat.

“Ya, belum ada pendirian lagi (satu lawan satu) kerana kita akan buat kajian secara terperinci. Perkembangan PAS kini sangat baik di masa mutakhir ini.

“Di samping kita pernah menang di Kelantan dan pernah menang di Terengganu dan kita pernah memerintah Kedah dan pernah cuba memerintah negeri Perak, (PAS) pernah menyertai kerajaan campuran di Selangor.

“Kerajaan (Malaysia) ini akan berubah, ianya tidak kekal selamanya akan berubah. Sebab itu tidak boleh kita membuat kenyataan lebih awal kerana perubahan boleh berlaku bila-bila masa sahaja,” jelasnya.

Menjawab persoalan kemungkinan PAS mengadakan kerjasama politik baharu dengan parti DAP, beliau menegaskan tidak dengan parti yang menentang Islam.

“DAP mungkin tidak kerjasama kerana sikap DAP yang tidak berubah, menentang Islam. Terus teranglah saya sebut dia menentang Islam, menentang agenda Islam,” tegasnya lagi. - HARAKAHDAILY 16/9/2016

Share on Myspace