Lapan isu utama akan jadi fokus Kongres Rakyat

NAZIRAH NASRUN | .

KUALA LUMPUR: Lapan isu akan menjadi fokus utama dalam majlis Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan pada 25 September hadapan di Dewan Galeri Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah Selangor.

Ia merangkumi pengangkutan awam, perumahan dan penempatan, ruang niaga untuk bumiputera/peluang perniagaan, wanita, kadar jenayah dan keselamatan, sosial dan gelandangan, pemandu teksi dan perpaduan kaum/nasional.

Lapan isu tersebut adalah isu besar di Wilayah Persekutuan yang telah disenaraikan pendek daripada keseluruhan permasalahan yang telah diutarakan oleh rakyat.

"Isu kebanjiran warga asing pula kita sudah putuskan bahawa ia akan diserapkan ke dalam tujuh lagi isu yang berkaitan dengannya. Contohnya seperti ruang niaga dan perumahan tempatan yang telah diambil alih oleh warga asing," ujar Penyelaras Jawatankuasa Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan Ustaz Kamaruzaman Mohamad kepada Harakah.

Menurut beliau, program yang akan berlangsung daripada jam 8.30 pagi sehingga pukul 2 petang itu juga dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM10 sahaja.

Ianya bertujuan menggalakkan penglibatan semua pihak dan akan digunakan untuk kos makanan serta bahan cetakan. Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Pengerusi Kongres Rakyat Pusat Cikgu Azmi Abdul Hamid manakala ulasan akhir pula akan disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia Datuk Seri Zakaria Jaafar.

Para pembentang masih dalam proses mengesahkan kehadiran dan dengan izin Allah beberapa tokoh penting akan ditampilkan bagi membentangkan isu-isu yang telah disebutkan. Setakat ini kita telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 60 NGO dan dalam proses menghubungi NGO yang wujud di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Saya harap kehadiran mereka boleh mencecah 100 NGO; yang akan dapat bersama dalam Kongres Rakyat kali ini.

"Kita juga telah menghantar surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk menghantar wakil beliau supaya dapat diwujudkan satu slot khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Justeru kita harapkan pihak DBKL akan dapat hadir bagi mendengar input daripada program ini dan seterusnya boleh melaksanakan penyelesaian kepada isu-isu yang sedang berlaku ini," seru beliau lagi.

Ustaz Kamaruzaman turut menyeru NGO serta orang ramai yang prihatin di sekitar Kuala Lumpur dan wilayah untuk hadir bagi membincangkan isu-isu yang bakal dibangkitkan demi kepentingan bersama. – HARAKAHDAILY 17/9/2016

Share on Myspace