Selangor rakam takziah pemergian Datuk Haron Din

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor merakamkan takziah kepada keluarga Almarhum Datuk Dr Haron Din di atas kepulangannya ke rahmatullah di San Francisco, Amerika Syarikat, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada semua pihak termasuk Selangor selaku tokoh ilmuan Islam juga ahli politik disegani.
 
“Sebagi wakil Datuk Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berada di luar kawasan serta kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Kita sebagai rakyat seharusnya mencontohi bagaimana iltizam beliau dalam bidang diceburinya juga selaku tokoh ulama serta ahli politik,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau ditemui selepas solat sunat jenazah ghaib untuk Allahyarham di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

Katanya, pemergian Mursyidul Am PAS itu mungkin sukar atau tidak berganti dan tidak boleh disamakan dengan kata peribahasa ‘patah tumbuh hilang berganti’.

Solat jenazah ghaib diimamkan oleh cucu Allahyarham, Hakeem Hamdi yang disertai kira-kira 5,000 orang termasuk Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Share on Myspace