Kenyataan biadap Jeff Ooi wajib disiasat

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan bahawa kenyataan biadap Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi di dalam akaun Twitter berhubung kematian Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din malam semalam adalah merupakan satu kenyataan yang sangat merbahaya dan wajib disiasat oleh pihak berkuasa. Ia berpotensi untuk mencetuskan huru hara dan suasana kebencian sekiranya tidak dibendung. Jeff Ooi di dalam kenyataan tersebut menulis “'Adios Harun Din. Let there be peace'’ sekali gus membayangkan kebenciannya kepada Allahyarham selama ini. Dia juga memuat naik petikan kiriman dari seorang pengguna Twitter yang lain yang menulis: “Someone who made his career out of selling air jampi for any illness succumbed to his illness in a modern hospital in San Francisco. #irony”

Kami tegas berpendirian bahawa Jeff Ooi merupakan seorang ahli parlimen yang paling kurang ajar di negara ini apabila sanggup mengeluarkan perkataan tersebut pada waktu sangat tidak sesuai. Ia sebenarnya sekali gus membayangkan wajah DAP yang merupakan parti yang diwakilinya apabila tidak ada sebarang teguran dari pimpinan parti terhadap sikapnya.

Mengikut rekod, ini bukan kali pertama Jeff Ooi berlaku biadap seperti ini. Pada tahun 2013, dia pernah menggelarkan kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPP) kerana menggelar mereka kucing kurap. Sikapnya ketika itu ditegur oleh mendiang Karpal Singh di Kovensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013.

Pada tahun 2009, dia juga pernah menulis berhubung Istana Perak dengan menggunakan ayat bahawa orang Melayu telah “showed their middle-fingers at their rulers..” (menunjukkan jari tengah kepada penguasa mereka).

Justeru, kami hadir hari ini ke Balai Polis Dang Wangi membuat laporan bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat tulisan Ahli Parlimen DAP dari Jelutong ini. Adalah sangat menyedihkan jika individu seperti ini dibiarkan berleluasa untuk menulis sebegini rupa pada masa akan datang.

"Inilah Penyelesaian Kita"

"Bertekad Melebar Muafakat"
 
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
17 September 2016 | 15 Zulhijjah 1437 - HARAKAHDAILY 17/9/2016

Share on Myspace