PAS berani bersemuka dengan sesiapa kerana Islam

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK | .

Presiden PAS bersama rombongan dalam lawatan muhibbah ke Pertubuhan Hokkien Malaysia di ibu negara.

Pagi ini, Ahad 18 Sept 2016, rakan-rakan memforwardkan gambar pertemuan dan taklimat khas pimpinan PAS dengan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia. Ia diadakan susulan tindakan Persatuan Hokkien Malaysia melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan daripada rakyat bagi menentang rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan).

Menurut persatuan berkenaan, pindaan itu dikatakan akan merintis jalan supaya hukuman hudud dapat dilaksanakan di negara ini. Presidennya, Tan Sri Khoo Chai Kaa berkata, selepas 20 September, tandatangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada semua 222 anggota Parlimen. Berikutan kempen tersebut, Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (GU) atau Geng Ustaz membuat laporan polis. Mereka mendakwa tindakan tersebut adalah campur tangan melampau dan melanggar sempadan kebebasan mengamalkan aktiviti beragama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PAS memimpin pertemuan tersebut disertai beberapa orang lagi AJK PAS Pusat. Kalau mahu dikira, airmata semalam yang mengalir di Masjid Sultan Salahudin, Shah Alam usai solat jenazah ghaib kepada almarhum Dr Haron Din baharu sahaja kering. Pagi ini terus sahaja taklimat dan dialog untuk RUU 355. Kematian almarhum al-Mursyid al-Am PAS tidaklah mematikan semangat pemimpin PAS lain untuk terus berjuang menegakkan Islam dan menyampaikan Islam kepada sesiapa sahaja.

Datuk Seri Tuan Guru berkuliah dhuha pagi Jumaat di Rusila, tengah harinya berkhutbah, petangnya program di Dewan Tok Guru, Rusila bersama Datuk Dr Fadhli Hasan, AJK PAS Pusat dan Exco Kelantan mengenai Pindaan RUU 355, malam itu berkejar ke Stadium di Kota Baru bagi menyertai Munajat Perdana Rakyat Kelantan memohon kepada Allah agar dimudahkan Pindaan RUU 355 ini, keesokannya pagi Sabtu di Masjid di Shah Alam, petangnya mesyuarat AJK PAS Pusat (kalau tak silap) dan seterusnya dan seterusnya.

Allahu Akbar! Putaran hidup Tok Guru hanya untuk Islam. Masanya dipenuhi dengan terus menerang dan terus menerang tentang Islam, walaupun khalayak netizen yang jahil, hanya sebagai keyboard warrior, berlagak alim terus menyerang Tok Guru dengan pelbagai tohmahan, fitnah dan kata-kata yang acapkali hilang tatasusila agama, juga paling kurang adab orang Melayu. Betul kata Tok Guru: ‘Bacalah al-Quran, jangan baca facebook’. Al-Quran sebut supaya teruskan dakwah, jangan hiraukan orang yang jahil.

Pertemuan pagi ini diharap dapat mengubah pandangan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia terhadap Pindaan RUU 355, juga terhadap Islam itu sendiri. Dan ini bukan kali pertama dan terakhir Tok Guru terus  bersemuka di atas ‘Istiqamah Hingga Kemenangan’ dengan golongan bukan Islam, walaupun sebenarnya Pindaan RUU 355 ini tidak berkaitpun dengan mereka, kerana Islam itu untuk semua, sebagaimana PAS itu juga untuk semua. - HARAKAHDAILY 18/9/2016

Penulis adalah Timbalan 1, Jabatan Perhubungan Awam, IT Dan Media Baharu, Dewan Ulama PAS Pusat dan Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulama PAS Terengganu.

Share on Myspace