PAS tidak akan pernah penat berdialog

HARAKAHDAILY | .

Tuan Guru Abdul Hadi dan rombongan dalam lawatan ke pejabat Persekutuan Persatuan Hokkien, semalam.

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada Persekutuan Persatuan Hokkien yang sedia menerima kunjungan mahabbah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diketuai oleh YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagi memberi penjelasan dan penerangan mengenai isu Pindaan Akta 355 di pejabat mereka tempoh hari.

Meskipun Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien Datuk Khoo Chai Kaa menegaskan bahawa beliau masih tidak memahami penjelasan yang telah diberikan dan berhasrat akan tetap meneruskan kempen sejuta tandatangan bagi membantah Pindaan Akta 355, kami bagi pihak PAS, insya Allah tidak akan pernah penat untuk terus membuka ruang dan peluang dialog serta penerangan kepada Persekutuan Persatuan Hokkien sehingga mereka benar-benar memahami isu Pindaan Akta 355 ini.

Sewajarnya kunjungan PAS ke Pejabat Persekutuan Persatuan Hokkien tempoh hari diambil kesempatan sepenuhnya oleh pihak Persatuan Hokkien untuk bertanya mahupun mengemukakan pandangan mereka serta berdialog bagi memahami kedudukan sebenar isu Pindaan Akta 355. Namun malang, mereka tidak membuka ruang dialog dan tiada sebarang pertanyaan diajukan kepada YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sedang Presiden PAS memberi penerangan dengan bahasa yang sangat mudah dan terus kepada subjek perbincangan secara jelas.

PAS senantiasa bersedia dan bersikap terbuka untuk terus memberi penerangan dan berdialog dengan semua pihak. Jika Persekutuan Persatuan Hokkien merasakan tidak cukup dan tidak faham dengan sekali pertemuan dan penerangan, maka kami tidak keberatan untuk terus memberi kefahaman kepada mereka mengenai Islam amnya dan Pindaan Akta 355 ini khasnya.

Selagi tidak faham maka marilah berbincang dan berdialog. Janganlah bertindak dan membuat penentangan terhadap Islam mahupun Pindaan Akta 355 tanpa memahami apakah kedudukannya yang sebenar kerana ia merendahkan moral dan peribadi.

Insya Allah, PAS sekali lagi diketuai oleh YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti akan sedia memberi Penerangan Khas dan berdialog secara dua arah bagi menjelaskan isu Pindaan Akta 355 dengan pihak wartawan-wartawan akhbar cetak dan media baru yang berbahasa Cina, Tamil, Inggeris dan juga Melayu.

Majlis Penerangan Khas kepada semua wartawan tersebut dijadualkan seperti berikut:

Tarikh: 29 September 2016
Hari: Khamis
Masa: 10.30 pagi
Tempat: Tingkat 5,  Pejabat Agung PAS
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"Inilah Penyelesaian Kita"

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 19/9/2016

Share on Myspace