Jadikan Almarhum Dr Haron Din ikon pemimpin, ilmuan

HARAKAHDAILY | .

Cucu Almarhum Dr Haron Din, Hakeem Hamdi mengimami solat jenazah ghaib di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR: Generasi muda seharusnya menjadikan Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din sebagai ikon dan mencontohi beliau selaku pemimpin serta tokoh ilmuan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib Negeri Selangor, berkata di sepanjang hayatnya Almarhum membuktikan ketokohannya sebagai ulama dan ahli politik disegani namun disenangi semua pihak.
 
“Pemergian beliau amat terkesan kepada kita semua dan sebagai generasi muda, saya dan rakan lain seharusnya mencontohi beliau.

“Seperti mana dapat dilihat solat sunat jenazah ghaib diimamkan cucunya, maka kita sebagai generasi pelapis perlu bersungguh-sungguh menguasai ilmu sepertinya,” katanya dipetik SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer itu menambah, pemergian Dr Haron Din diharap memberi iktibar kepada kita semua dan berdoa semoga bertambah alim ulama di kalangan generasi baru.

Solat sunat jenazah ghaib untuk Mursyidul Am PAS itu diimamkan cucunya, Hakeem Hamdi, 17, di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Sabtu lalu yang disertai kira-kira 5,000 jemaah termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Haron Din menghadapi masalah jantung dan dimasukkan ke Hospital Stanford University, San Francisco, meninggal dunia pada jam 10.10 pagi (waktu Malaysia), Jumaat lalu.

Jenazah Almarhum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd, Livermore, California, Amerika Syarikat selepas solat Jumaat waktu tempatan.

Share on Myspace