DAP mesti henti kebiadapan terhadap hal ehwal Islam

HARAKAHDAILY | .

KEBIADAPAN Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi memuat naik ungkapan sinikal berhubung kematian Tuan Guru Datuk Dr Haron Din semakin mencerminkan lagi sikap permusuhan DAP terhadap Islam.

DAP kebelakangan ini semakin nyata menyerang, menghina dan memperlekeh perkara yang berkaitan dengan Islam. Sama ada mengenai ajaran, tuntutan dan kewajipan atau penguatkuasaan undang-undang, institusi mahupun tokoh.

Jelas, sikap seperti ini menunjukkan keangkuhan dan tidak menghormati hak serta perbezaan yang ada dalam negara ini. Apa yang paling dibimbangi, ia berpotensi mencetuskan sentimen keagamaan terutama Islam sebagai agama persekutuan.

Ia tentunya mencetuskan rasa kurang senang dan mengundang kemarahan yang sepatutnya boleh dielakkan. Oleh itu, kami menggesa semua pihak berkenaan menghentikan serta-merta sikap tersebut dan menyusuli permohonan maaf.

Kematian adalah satu kehilangan dan kesedihan bukan sahaja buat keluarga, tetapi mungkin juga pihak kebanyakan yang ada hubungan peribadi atau kepentingan awam.

Sebagai masyarakat bertamadun, jika pun tidak bersolidariti dan bersimpati, setidak-tidaknya rasa hormat iaitu dengan tidak menunjukkan sesuatu yang boleh mengguris atau menambah kedukaan.

Apatah lagi penghinaan, lebih perlu dijauhi. Kami yakin, keharmonian dikecapi dalam kepelbagaian Malaysia mesti terus dipertahankan. Tidak perlu mengundang kemungkinan lebih parah yang boleh mengancam dan membimbangkan banyak pihak.

JUWAHIR AMIN
Pemangku Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 19/9/2016

Share on Myspace