CAP, SAM sertai gerakan global 'bebas dari plastik'

SM MOHAMED IDRIS | .

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyertai gerakan 'Bebas dari Plastik' yang dilancarkan baru-baru ini untuk menghentikan pencemaran plastik di seluruh pelosok dunia.  

Dilaporkan bahawa setiap tahun hampir 8 juta tan plastik mencemari lautan. Dianggarkan terdapat 150 juta tan plastik dalam lautan pada masa kini. Sekiranya tiada perubahan dalam amalan kini, diramalkan bahawa lautan akan mengandungi satu tan plastik bagi setiap tiga tan ikan menjelang 2025 dan menjelang 2050 lautan jumlah plastik akan melebihi berat ikan.

Walaupun pencemaran plastik menimbulkan impak kepada kesihatan awam, biodiversiti marin dan alam sekitar, kerajaan dan industri telah setakat ini gagal untuk menangani masalah tersebut. Perubahan persepsi pengguna dari segi penggunaan plastik juga amat diperlukan.

Memandangkan masalah pencemaran plastik yang kian meruncing, kenyataan visi  #breakfreefromplastic adalah, “Kami percayakan suatu dunia di mana tanah, langit, lautan dan air adalah rumah kepada kehidupan dan bukannya penuh dengan plastik; di mana udara yang kita nafas, air yang kita minum, makanan yang kita makan adalah bebas dari hasil sampingan toksik dari pencemaran plastik. Dalam dunia ini, prinsip keadilan alam sekitar, keadilan sosial, kesihatan awam dan hak asasi manusia memimpin dasar kerajaan dan bukannya tuntutan golongan elit dan korporat”.

Ke arah masa hadapan yang bebas dari pencemaran plastik, gerakan ini akan menuruti prinsip-prinsip berikut:

1) Gaya hidup dan ekonomi kita padan dengan had alam sekitar planet ini.

2) Sisa dikurangkan, pertama-tama.

3) Kitar hidup bahan dan produk yang kita guna – dari pengambilan sumber dan penghasilan, ke penggunaan, kitar semula, pengkomposan, dan pembuangan – akan menjamin kesihatan manusia dan dunia.

4) Tindakan komuniti dan usahasama dalam kalangan rakyat, pekerja, kerajaan, pakar dari pelbagai sektor, pemimpin peniaga yang menyokong akan memandukan keputusan mengenai reka bentuk barangan, perusahaan dan pengurusan sisa masa kini serta masa akan datang.

5) Pemungut sisa dan pekerja di sektor kitar semula diberi sokongan untuk memperbaiki sistem-sistem operasi mereka dan juga memimpin bersama untuk beralih ke ekonomi barangan yang baru dan selamat.

6) Pengusaha bertanggungjawab terhadap keseluruhan kos kitar hidup dan impak barangan serta pembungkusan mereka, dan  reka bentuk semula serta menginovasi barangan dan sistem yang lebih baik.

7) Di mana barangan plastik dan pembungkusan adalah perlu, ianya diguna semula, dibaiki, atau sekiranya gagal berbuat demikian, adalah dikitar semula; dan bahan toksik adalah dihapuskan dari penghasilannya.

8) Tiada insinerator baru dibina, dan insentif tenaga boleh baharu adalah dihapuskan bagi pembakaran plastik dan sisa. Ini termasuk gasifikasi, pirolisis, logi simen, dan fasiliti pembakaran “sisa-ke-tenaga” yang lain.

9) Sisa organik kembali ke tanah dan sistem sisa sifar mengurangkan pergantungan kepada tapak pelupusan dan insinerator sisa.

10) Sistem-sistem yang kita bina dan bahan yang kita gunakan memperlahankan perubahan iklim, dan bukan mempercepatnya.

Kumpulan dan individu yang berminat yang berkongi visi dan prinsip tertera di atas boleh turut serta gerakan ini dengan menurunkan tandatangan di http://breakfreefromplastic.org/.

Matlamat asasi kami adalah untuk memastikan masa hadapan kita adalah bebas dari pencemaran plastik. - HARAKAHDAILY 19/9/2016

Penulis ialah Presiden CAP dan SAM.

Share on Myspace