PAS sentiasa hormati adat budaya berbagai kaum

JOFRI JARAIEE | .

PERAYAAN pertengahan musim luruh atau perayaan Kuih Bulan disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 kalendar Cina, yang pada akhir bulan Ogos hingga akhir September. Ia selalunya hampir dengan ekuinoks musim luruh. Perayaan Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan terpenting selain Tahun Baru Cina.
 
PAS Miri bersama dengan AJK PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki baru-baru ini telah mengedar kuih bulan kepada masyarakat Cina di kawasan bandaraya Miri dan sekitar kawasan perumahan di Taman Tunku di Lambir.
 
Sambutan yang diterima oleh masyarakat Cina di Miri amat mengalakkan kerana PAS sudah biasa mengedarkan kuih bulan pada setiap tahun di musim perayaan Kuih Bulan. Ini membuktikan PAS bukan sebuah parti yang ekstremis seperti digambarkan oleh sesetengah pihak.
 
PAS akan sentiasa mendekati masyarakat berbilang kaum di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama. PAS sentiasa menghormati adat budaya dan kepercayaan masing-masing supaya rakyat dapat menerima PAS dengan baik walaupun ditohmah dengan berbagai-bagai fitnah tetapi semua itu tidak menghalang PAS untuk terus berdakwah dan memberi sumbangan kebajikan kepada masyarakat yang berbilang kaum dan agama dalam negara ini.
 
Apabila kita sudah mengenali adat budaya dan kepercayaan masing-masing ini akan memudahkan kita saling menghormati antara satu sama lain tanpa rasa prajudis. Inilah cara PAS mendekati rakyat dan cara penyelesaian terbaik untuk rakyat berbilang kaum dan agama dapat bersatu dengan hidup aman dan harmoni dalam negara ini. – HARAKAHDAILY 19/9/2016

Share on Myspace