Tabung Qard al-Hassan bantu rakyat miliki rumah

HARAKAHDAILY | .

Idea untuk kerajaan negeri menubuhkan sebuah tabung khas bagi membiayai perumahan kepada rakyat secara ‘Qard al-Hassan’ (pinjaman tanpa faedah) wajar dipandang serius demi membela kebajikan rakyat. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuka perkampungan baru dengan premium tanah yang rendah dan membina rumah asas dengan kos yang berpatutan serta mengenakan pinjaman secara ‘Qard al-Hassan’ adalah langkah bagi menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana akibat harga rumah yang terlalu mahal.

Hari demi hari, kenaikan harga rumah ibarat sukar dibendung dan angka itu semakin memeritkan kehidupan rakyat. Mengikut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, 31.2%daripada pendapatan rakyat akan dihabiskan untuk makanan, 23.9% pula kepada petrol, utiliti dan perumahan.

Jumlah itu secara relatifnya adalah tinggi dan sewajarnya beban itu dikurangkan. Pembiayaan perumahan dengan "keuntungan" tidak mungkin menyelesaikan masalah bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat setiap hari.

Tambahan pula, 56.2% daripada 89.1% keseluruhan hutang daripada KDNK pada 2015 adalah hasil daripada pembiayaan perumahan dan harta tanah. Malah, saya tekankan dalam kenyataan-kenyataan terdahulu data yang menunjukkan harga rumah di Malaysia dalam keadaan yang semakin sukar dikawal.

Keputusan Kementerian mengenai pemberian lesen pembiayaan kepada para pemaju bukanlah tindakan yang menyelesaikan masalah utama rakyat Malaysia ketika ini. Selepas mendapat bantahan, akhirnya perkara itu berubah menjadi suatu "cadangan" yang belum diputuskan.

Kementerian menekankan soal "win-win solution" ketika mengemukakan "keputusan" tersebut. Saya tidak jelas siapa "win" dan siapa yang tidak dengan keputusan tersebut. Malah, apa pula "win situation" kepada para pembeli yang bakal berdepan dengan harga rumah dengan nilai keuntungan yang akan semakin tinggi dan tidak terkawal?

Isu ini perlu diteliti dengan dua aspek; (i) kenaikan harga rumah yang semakin meningkat, dan (ii) pembiayaan dengan kadar 'keuntungan' yang tidak muhasabah dan wajar dihapuskan bagi mengurangkan beban yang ditanggung pembeli.

Islam menyediakan ruang dan asas yang begitu signifikan dalam kaedah hutang antaranya melalui pinjaman tanpa faedah (Qard al-Hassan). Ini kerana Islam ingin mengajar umatnya berhutang hanya untuk keperluan yang tinggi manakala orang ramai pula tidak berhutang jika mereka mampu membelinya secara tunai.

Maka, sewajarnya isu ini diteliti dengan lebih mendalam supaya penyelesaian yang lebih realistik diluncurkan kepada rakyat Malaysia. Kembali kepada penyelesaian Islam dan inilah penyelesaian kita.

"Inilah Penyelesaian Kita"

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
19 September 2016 | 17 Zulhijjah 1437 - HARAKAHDAILY 19/9/2016

Share on Myspace