DAP digesa ambil tindakan terhadap Jeff Ooi

HARAKAHDAILY | .

ALOR SETAR: DAP digesa mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi kerana mengeluarkan kenyataan yang menyakiti hati umat Islam berhubungan tweetnya mempersendakan kematian Datuk Dr Haron Din.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini selaras dengan gesaan pemimpin DAP kepada Umno sebelum ini supaya mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpinnya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

"Saya menyambut baik tindakan segera polis menyiasat Jeff Ooi mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di atas kenyataannya yang menyinggung perasaan umat Islam itu.

"Saya berharap tindakan tegas akan diambil terhadap beliau kerana kedudukan Jeff Ooi selaku pemimpin DAP dan Ahli Parlimen akan mempengaruhi pengikut beliau untuk membuat perkara sama jika perlakuan beliau dibiarkan.

"Perlakuan Jeff Ooi ini jika dibiarkan boleh menimbulkan huru-hara dalam masyarakat berbilang agama kerana ia boleh menimbulkan tindak balas negatif dari pihak yang tersinggung dengan kenyataannya," ujar beliau.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini yang meminta Jeff Ooi menyerah diri kepada polis untuk diambil keterangan berhubung muat naik oleh Ahli Parlimen itu.

Katanya, pada masa sama, DAP sendiri perlu mengambil tindakan disiplin terhadap Jeff Ooi bagi membuktikan kenyataan itu benar-benar tidak mewakili pendirian DAP.

"Kenyataan Setiausaha Agung DAP menyatakan kesal tidak mencukupi kerana pernyataan kesal bukan pengakuan bersalah secara ikhlas dan tidak menyamai permohonan maaf.

"Pada bulan Julai 2014, bila Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Mohd Rafii menyebut ungkapan ‘balik Tongsan (Cina)’ kepada isteri Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik. Pemimpin DAP, Dr Ong Kian Ming cepat saja mendesak Umno mengambil tindakan disiplin terhadap beliau.

"Kini pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan yang lebih teruk dan jika DAP sebuah parti berprinsip, maka ia tanpa didesak akan terus mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin tersebut supaya tidak dilihat bersikap hipokrit.

"Jika ini gagal dibuat oleh DAP, maka terbuktilah DAP hanyalah kaki temberang yang cakap tidak serupa bikin, apabila kena ke atas orang lain cepat saja diminta ambil tindakan, tetapi apabila kena ke atas diri sendiri boleh pula didiamkan," bidasnya.

Dr Kamarul turut melahirkan rasa hormat kepada pemimpin Dewan Pemuda PAS Malaysia atas tindakan segera mereka memberi maklum balas dan membuat laporan polis atas keceluparan dan kebiadaban Jeff Ooi itu.

Katanya, sikap berani dalam mempertahankan martabat Islam yang dipunyai mereka menunjukkan PAS tidak kekurangan pemimpin pelapis berwibawa untuk menggalas tugas kepimpinan apabila pemimpin tertinggi berundur kelak.

Dewan Pemuda PAS Malaysia diketuai Timbalannya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah membuat laporan tersebut di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur petang semalam. – HARAKAHDAILY 19/9/2016

Share on Myspace