Rumah Selangorku: PR1MA iktiraf, kementerian pertikai

HARAKAHDAILY | .

Walaupun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan enggan mengiktiraf keberkesanan polisi rumah mampu milik Kerajaan Negeri Selangor atau polisi Rumah Selangorku namun permohonan Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk mengambil alih salah sebuah projek Rumah Selangorku adalah satu bukti Kerajaan Persekutuan menganggap betapa pentingnya polisi tersebut di dalam menyelesaikan masalah perumahan rakyat.

Pada bulan Jun lepas, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju sebuah projek Rumah Selangorku pemaju swasta dijadikan projek PR1MA dengan nama baru, Selangorku PR1MA.

Kerajaan negeri melihat telah terdapat lebih 20,000 unit Rumah Selangorku yang telah diluluskan maka tidak ada masalah untuk melepaskan sebahagian kecil darinya kepada PR1MA.

Projek tersebut adalah di Cyber 11, Cyberjaya yang mengandungi 1,932 unit rumah mampu milik.

Pada hakikatnya walaupun pelbagai tuduhan telah dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri Selangor namun Kerajaan Persekutuan memerlukan Rumah Selangor untuk mencapai sasaran perumahan mereka.

Yang terkini Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Johan Abdul Aziz, telah mempertikaikan polisi perumahan kerajaan negeri.

Selain dari itu kenyataan beliau di dalam akhbar Sinar Harian pada 17 September lepas turut mendakwa syarikat-syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor  (PKNS) tidak lagi membina rumah rakyat.

Mungkin beliau baru dilantik ke jawatan tersebut, oleh yang demikian tidak menyedari bahawa PKNS telah membina projek rumah mampu milik yang pertama di Bandar Baru Bangi dan ia telah diduduki sejak 2015.

Terdapat projek-projek Rumah Selangorku lain oleh PKNS yang akan siap dalam masa 3 tahun seperti di Kg Seri Temenggong, Gombak dan U12, Shah Alam.

PKNS sedang juga membina Rumah Selangorku di Kota Puteri dan Antara Gapi.

Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) juga membina Rumah Selangorku di Sutera Damansara dan Ladang Air Manis, Sabak Bernam.

Saya menasihatkan agar kementerian yang bertanggungjawab menumpukan usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat dan berhenti menyerang kerajaan negeri.

Kerajaan negeri adalah lebih fokus dan telah menunjukkan kami berjiwa besar apabila sanggup mengadakan rundingan dengan PR1MA.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor - HARAKAHDAILY 20/9/2016

Share on Myspace