Hujan basahi jemaah haji di Makkah

ASLANI M | .

MAKKAH: Jemaah haji terpaksa meredah titisan hujan yang membasahi bumi Makkah selepas solat Isyak malam tadi.

Biarpun tidak lebat namun dataran Masjidilharam dan jalan basah. Jubin di dataran agak licin sehingga ada hampir terjatuh.

Ketika solat Isyak, kedengaran dentuman guruh di langit. Imam juga membaca surah pendek bagi memendekkan solat.

Sedangkan kebiasaannya bacaan imam panjang pada setiap solat di Masjidilharam.

Sebelum Maghrib jemaah haji yang datang ke masjid berdepan ribut pasir. Debu yang dibawa angin menyebabkan penglihatan agak terhad.

Menara jam di Safwa tidak kelihatan dari tempat jauh sebagaimana biasa.

Biarpun berdepan dengan ribut pasir namun ia tidak menghalang orang ramai bertali arus ke masjid.

Sudah menjadi fenomena biasa di sini setiap kali menjelang waktu solat boleh dilihat deretan orang ramai di jalan raya.

Namun kesesakan agak berkurangan sekarang memandangkan sebahagian jemaah haji pulang ke negara mereka. Deretan bas membawa jemaah haji ke Jeddah boleh dilihat di sana sini.

Sejak penulis berada di sini 21 Ogos lepas sudah tiga kali hujan agak lebat turun di Makkah.

Malah kejadian ribut pasir juga agak kerap berlaku pada sebelah petang. – HARAKAHDAILY 20/9/2016

Share on Myspace