Pemergian Tuan Guru Haron Din: Henti sekat ulama

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Sarawak mengucapkan takziah ke atas permergian Tuan Guru Dr Haron Din. Tuan Guru merupakan contoh seorang professional yang istiqamah bersama perjuangan PAS. Jutaan umat Islam mendapat manfaat daripada jasa Allahyarham, sama ada secara langsung melalui kuliah dan pengajaran beliau, atau secara tidak langsung beliau memperjuangkan Islam dalam sektor ekonomi seperti perbankan Islam, dakwah, pembangunan pendidikan dan lain-lain. Allahyarham Tuan Guru juga berjasa besar dalam PAS, dan amat tegas dalam memberi pandangan-pandangan beliau dalam isu-isu umat Islam.

Kita telah kehilangan permata besar Islam di Malaysia khususnya, dan dunia amnya. Kita telah kehilangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini. Mereka diraikan selepas kematian mereka, dengan stesen-stesen televisyen utama memberi liputan meluas tentang pemergian mereka.

Amat malang di kala hidup mereka, ulama-ulama ini dihalang dan diberi pelbagai sekatan untuk menyampaikan ilmu. Program-progam agama yang pelbagai di stesen-stesen TV lebih mengutamakan ustaz-ustaz selebriti termasuk yang lahir daripada realiti tv, berbanding ulama-ulama. Ini hasil daripada sekatan-sekatan yang dikenakan dek kerana berbeza pandangan politik.

Kami menuntut sekatan-sekatan ini dihentikan. Berilah peluang kepada ulama-ulama tanpa mengira latar belakang politik untuk berdakwah secara meluas termasuk melalui stesen-stesen tv. Ulama besar Malaysia seperti Tuan Guru Presiden PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Dr Mahfodz dan lain-lain perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk menyampaikan ilmu mereka. Sebarang sekatan yang dikenakan dengan niat politik tidaklah memberi manfaat kepada kemajuan umat Islam.

Janganlah selepas kita kehilangan mereka, barulah kita mula menghargai mereka.

Zharudin Narudin
Timbalan Ketua Pemuda PAS Sarawak - HARAKAHDAILY 20/9/2016

Share on Myspace