Henti fitnah persempadanan semula untungkan PAS S'gor

HARAKAHDAILY | .

Kami terkejut apabila terdapat tuduhan pihak media bahawa persempadanan semula yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguntungkan PAS di Selangor.

Kami melihat tuduhan ini berniat jahat dan tidak berdasarkan fakta.

Kerusi-kerusi PAS di Selangor juga menerima kesan yang besar akibat dari cadangan SPR itu.

Cadangan tersebut hanya menguntungkan Umno dan tidak memihak kepada parti-parti lain termasuk PAS.

Terdapat Daerah-Daerah Mengundi (DM) di mana PAS telah menang pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU 2013) dikeluarkan dari kawasan Dewan Negeri PAS.

Manakala terdapat DM yang dimenangi oleh BN dari kawasan yang lain dimasukkan ke dalam kawasan PAS.

Contohnya bagi kawasan Pesuruhjaya PAS, kawasan Dewan Negeri Chempaka.

5 DM yang dimenangi oleh PAS pada PRU13 telah dikeluarkan dari kawasan tersebut. DM itu adalah Taman Dagang, Taman Cahaya, Pandan Mewah, Kg Baru Ampang 3 dan Pandan Indah Jalan 5.

Sementara DM Kg Cheras Baru Timur dari kawasan Teratai yang dimenangi oleh BN pada PRU13 dimasukkan ke dalam Chempaka.

Akibat dari itu berdasarkan keputusan PRU13, majoriti bagi Chempaka akan berkurangan 1,829 undi.

Perkara yang sama juga berlaku pada banyak kerusi-kerusi PAS.

Malah juga berdasarkan keputusan PRU13, terdapat kerusi Dewan Negeri dan kerusi Parlimen yang PAS akan kalah. Ini termasuk kerusi yang disandang oleh Exco PAS.

Jelas sekali persempadanan ini tidak menguntungkan PAS.

Oleh yang demikian, kami menggesa pihak yang menyebarkan fitnah ini menghentikan tindakan mereka.

Jika mereka tidak pandai mengira, kami bersedia menyediakan kelas matematik untuk mereka. Malah Pusat-Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) kami bersedia menerima mereka.

Sehingga itu kami menggesa rakyat agar menolak tuduhan-tuduhan tersebut.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
20 September 2016 - HARAKAHDAILY 20/9/2016

Share on Myspace