Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan fokus 8 isu

HARAKAHDAILY | .

Kamaruzaman (kiri) bercakap pada sidang media mengenai penganjuran Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan.

Lapan isu akan menjadi fokus utama dalam Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan pada 25 September 2016 yang akan diadakan di Dewan Galeri Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah Selangor.

Ia merangkumi pengangkutan awam, perumahan dan penempatan, ruang niaga untuk bumiputera/peluang perniagaan, wanita dan kekeluargaan, kadar jenayah dan keselamatan, sosial dan gelandangan, pemandu teksi dan perpaduan kaum/nasional.

Pada mulanya, dalam sidang media pada 8hb September, 2016 yang lepas, sekretariat kongres juga menyenaraikan isu kebanjiran warga asing juga sebagai salah satu fokus tetapi setelah dibincangkan semula, kita putuskan bahawa ia akan diserapkan ke dalam tujuh lagi isu yang berkaitan dengannya seperti ruang niaga, kadar jenayah  dan keselamatan serta perumahan dan penempatan yang telah diambil alih oleh warga asing.

Sebagai gantinya, sekretariat kongres tetapkan juga lapan (8) bidang fokus dengan memasukkan isu wanita dan kekeluargaan sebagai satu bidang fokus yang perlu diberikan perhatian oleh warga kota.

Sebenarnya banyak lagi isu yang dibangkitkan tetapi sekretariat Kongres Rakyat Wilayah persekutuan memilih lapan (8) isu tersebut adalah isu besar di Wilayah Persekutuan yang telah disenarai pendek daripada keseluruhan permasalahan yang telah diutarakan oleh rakyat.

Kongres Rakyat akan menampilkan beberapa tokoh-tokoh penting yang akan membentangkan isu-isu yang telah disebutkan diatas. Selain itu, satu kelainan kepada Kongres Rakyat Wilayah persekutuan ini adalah  diwujudkan satu slot khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menjemput Datuk Bandar KL atau wakil untuk hadir memberikan ucapan dan mendengar input daripada program ini dan seterusnya boleh melaksanakan penyelesaian kepada isu-isu semasa berkaitan warga Wilayah.

Kongres Rakyat sehingga kini  telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 60 NGO dan dalam proses menghubungi NGO yang wujud di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk mencapai sasaran 100 NGO di Wilayah Peresekutuan.

Kongres menyeru NGO serta orang ramai yang prihatin di sekitar Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan untuk hadir bagi membincangkan isu-isu yang bakal dibangkitkan demi kepentingan bersama. NGO dan mana-mana pihak yang berminat untuk hadir boleh menghubungi sekretariat. Kami juga telah membina satu page FB untuk menyalurkan maklumat kongres ini di www.facebook.com/kongresrakyatwp

Kongres Rakyat ini akan berlangsung daripada jam 8.30 pagi sehingga pukul 2 petang itu juga dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM10 sahaja.Ianya bertujuan menggalakkan penglibatan semua pihak.

KAMARUZAMAN MOHAMED
Penyelaras Jawatankuasa dan Sekretariat Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan.

Share on Myspace