Pemergian Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dirasai dunia

HARAKAHDAILY | .

Pemergian Tuan Guru Datuk Dr Haron Din bertemu Maha Pencipta baru-baru ini terus diiringi dengan ucapan takziah dari pelbagai pihak dan organisasi Islam antarabangsa.

Yayasan Al-Quds Antarabangsa dalam sehelai surat yang ditujukan kepada Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah mengucapkan takziah atas pemergian Mursyidul Am parti itu, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, ke rahmatullah minggu lalu.

“Kami ingin menyampaikan kepada kalian, umat Islam keseluruhannya, rakyat Malaysia, pimpinan dan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) khususnya setulus takziah atas pemergian cendekiawan Sheikh Haron Din dan kami berdoa kepada Allah supaya mencucuri rahmat ke atasnya dan membina sebuah rumah buatnya di Syurga Firdaus.”

Penghargaan Takziah Parti Nahdah Buat Almarhum Musyidul Am

Presiden Parti Al-Nahdhah Al-Islamiah Tajikistan, Muhyidden Kabiri, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan telah menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, yang meninggal dunia minggu lalu di Hospital Universiti Stanford, California, Amerika Syarikat.

“Saya mewakili Parti Al-Nahdhah Al-Islamiah Tajikistan ingin mengucapkan setulus takziah kepada anggota keluarganya atas pemergian Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).”

Kenyataan tersebut telah ditujukan kepada Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan mengurniakan kesabaran kepada kaum keluarga dan mereka yang mengasihinya.
 
Pimpinan Ikhwan Muslimin Merasai Pemergian Murabbi Ummah

Gerakan Islam Ikhwanul Muslimin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan telah merakamkan ucapan takziah atas pemergian Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, yang telah kembali menemui Allah Rabbul Jalil, minggu lalu.

Memetik kenyataan tersebut, Timbalan Mursyidul Am gerakan tersebut, Sheikh Ibrahim Munir berkata, dunia Islam merasai pemergian Tuan Guru Datuk Dr Haron Din yang disifatkan sebagai kehilangan besar buat ummah dengan posisi beliau sebagai Mursyidul Am sebuah gerakan Islam tanah air.

“Ikhwanul Muslimin ketika diberitakan mengenai pemergian almarhum melalui wakilnya, turut menyampaikan takziah kepada semua ahli keluarga, kerabat, para pelajarnya dan yang dikasihinya di Malaysia serta seluruh pelosok dunia Islam dan semoga diberikan ketenangan.

“Kami juga memohon kepada Allah agar mencucurinya dengan rahmat Allah yang luas, ketenangan, dan syurga abadi.

“Semoga dengan itu, Allah mengurniakan kesabaran dan ketenangan bagi menggantikan kesedihan ummah atas berita kehilangannya, ” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu itu. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace