SPR wajib nyatakan justifikasi persempadanan

HARAKAHDAILY | .

Asas utama persempadanan semula ialah untuk memastikan setiap undi rakyat, tidak kira di mana, adalah hampir sekata nilainya apabila dinisbahkan kepada kerusi Dun mahupun parlimen.

Contohnya, di kawasan parlimen yang mempunyai 100,000 pengundi, nisbah nilai satu undi terhadap keberkesanannya dalam menentukan kemenangan satu kerusi parlimen hanyalah 1/100,000, ataupun 0.001%.

Nilai keberkesanan satu undi ini di kawasan ini adalah sangat kecil (10 kali lebih kecil) jika dibanding dengan nilai satu undi di kawasan yang mempunyai 10,000 pengundi,  1/10,000 ataupun 0.01%.

Malaysia mempunyai hampir 13.5 juta pengundi berdaftar yang bakal mengundi di 222 parlimen. Ini bermakna setiap parlimen jika dibahagi secara purata patut hanya mempunyai sekitar 60,000 pengundi - yang memberi nilai keberkesanan satu undi sebanyak 0.0016%.

Untuk memastikan nilai keberkesanan satu undi sekata, jurang nilai keberkesanan satu undi di satu-satu kawasan mestilah tidak boleh melebihi +/- 25% berbanding kawasan lain. Ini bermakna jumlah pengundi sesebuah parlimen hanya dibenarkan dalam lingkungan 45,000 – 75,000 pengundi sahaja. Mana-mana parlimen kecil perlu digabungkan, manakala mana-mana parlimen yang besar perlu dipecahkan.

Syor persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terbaru telah mendapat kritikan pelbagai pihak.

Demi menjaga nama baik SPR yang berfungsi sebagai pengadil ketika pilihan raya, PAS mendesak Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah tampil memberikan justifikasi mengapa cadangan persempadanan semula berupa sedemikian.

1. Apakah kriteria-kriteria yang menentukan sesuatu kawasan dibahagi sebegitu rupa sehingga ada 13 kawasan yang mempunyai jumlah pengundi 100,000, manakala pula ada kawasan yang mempunyai jumlah pengundi yang sangat kecil?

2. Apakah formula SPR di sebalik persempadanan semula ini?

3. Apakah SPR mengambil kira kesekataan nilai keberkesanan satu undi ketika membuat persempadanan semula?

4. Apakah justifikasi beberapa nama kawasan parlimen ditukar? Apakah keperluannya?

Persempadanan semula sentiasa akan mewujudkan kontroversi kerana ia dilihat sebagai senjata pihak pemerintah untuk kekal berkuasa.

Daripada membuat cadangan persempadanan semula, PAS menggesa SPR menumpukan usahanya untuk menukar sistem pilihan raya negara iaitu sistem majoriti mudah kepada sistem 'proportional' yang lebih dapat menjamin sistem pilihan raya negara berjalan secara adil dan saksama kepada pihak yang bertanding.

Bukan itu sahaja, sistem proportional ini akan menggalakkan lagi pengundi untuk turun menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

Apapun, kawasan Felda dan kawasan tradisi Melayu di pedalaman kekal sebagai kawasan paling mencabar untuk ditawani parti-parti pembangkang sekiranya ingin melihat tumbangnya Umno BN. Perkara itu akan menjadi sukar jika berlaku pertandingan melebihi 2 penjuru di kawasan-kawasan ini meskipun ada isu-isu nasional yang besar.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
20 September 2016
Mekah - HARAKAHDAILY 20/9/2016

Share on Myspace