Fenomena air pasang: RM3.5 juta naik taraf ban

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3.5 juta diperuntukkan bagi projek melebar dan meninggikan ban sepanjang 730 meter di Sungai Lang, Sabak Bernam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib, berkata peruntukan berkenaan meliputi nilai keseluruhan kontrak termasuk kos kajian dan reka bentuk.

“Kerja naik taraf ban dijangka bermula Oktober nanti selepas tender ditutup pada bulan ini.

“Projek ini antara lain membuktikan kerajaan negeri sentiasa manifestasikan sikap kepedulian rakyat,” katanya dipetik SelangorKini.

Semalam, beliau melakukan tinjauan di beberapa ban pecah di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Bermula 18 September lalu, fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan pantai di Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam mengalami banjir.

Keadaan arus deras ini juga turut menyebabkan beberapa ban pecah dan rosak.

Laporan Pasang Surut Air Laut daripada Pusat Hidrografi Nasional mencatatkan paras air pasang di pelabuhan Klang untuk beberapa hari ini agak tinggi.

Pada 18 September lalu, paras air adalah 5.6 meter, pada 19 September dengan catatan 5.5 meter, bacaan 5.5 meter pula dicatatkan pada 20 September sementara bacaan pada 21 September ialah 5.2 meter.

Share on Myspace